Tokoh-tokoh Terkenal

B

andar Temerloh pernah melahirkan ramai tokoh yang pernah mengharumkan nama negara seperti Datuk Bahaman, seorang pahlawan Melayu yang terkenal kerana kehebatannya menentang tentera British di Pahang suatu ketika dahulu. Selain beliau, Bandar Temerloh juga terkenal dengan Penghibur Nombor Satu Asia iaitu Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza di samping Dato Abdul Rahman Talib, mantan Menteri Pelajaran Malaysia yang bertanggungjawab memperkenalkan Laporan Abdul Rahman Talib untuk memperbaiki sistem pendidikan di Tanah Melayu pada ketika itu.

  “Ramai tokoh terkenal tanah air merupakan anak jati Temerloh”
   

Temerloh mendapat nama daripada perkataan orang asli iaitu “mereloh” atau tidur. Menurut cerita orang-orang tua, pada zaman dahulu seorang putera raja dari Kerajaan Minangkabau bernama Sujudbilang telah singgah di sebuah kawasan dan berkahwin dengan orang asli di situ. Baginda kemudian membuka satu kawasan baru untuk dijadikan penempatan di tebing Sungai Pahang. Sewaktu meneroka kawasan tersebut, mereka turut menyediakan satu kawasan khas untuk tidur pada waktu malam. Oleh sebab keadaan kawasan yang terlalu sempit, maka mereka “mereloh” atau tidur secara beramai-ramai. Daripada peristiwa itulah, maka perkataan “Tempat Mereloh” telah digunakan sebagai nama kawasan itu yang kemudian ditukar menjadi Temerloh kerana ia lebih ringkas dan mudah untuk diingati.

Temerloh juga pernah menjadi tempat Datuk Bahaman atau lebih dikenali sebagai Orang Kaya Semantan berserta pengikutnya menentang penjajahan British di dalam Perang Semantan. Perang tersebut meletus kerana Orang-Orang Besar Pahang tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan British yang campur tangan dalam pentadbiran di kawasan beliau. Dalam peperangan tersebut, mereka berjaya mengusir pihak British dari Temerloh. Bandar Temerloh telah mencapai pelbagai kemudahan prasarana pada waktu ini setelah hampir 50 tahun dibuka dan menjadi penempatan kepada penduduk setempat.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK