Bandar Temerloh kaya dengan pelbagai kisah sejarah. Di sini juga lahirnya ramai tokoh terkenal tanah air yang pernah mengharumkan nama negara suatu masa dahulu. Antaranya ialah Datuk Bahaman yang merupakan seorang pahlawan Melayu yang terkenal kerana kehebatannya menentang tentera-tentera British di Pahang suatu ketika dahulu. Di sini juga lahirnya penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan juga penyanyi popular negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin. Dato’ Abdul Rahman Talib, bekas Menteri Pelajaran yang telah memperkenalkan Laporan Abdul Rahman Talib untuk memperbaiki sistem pendidikan Tanah Melayu juga merupakan anak jati kelahiran Temerloh. |
Kepadatan penduduk yang semakin bertambah di Daerah Temerloh menjadikan keperluan untuk perkhidmatan kesihatan juga semakin meningkat. Sekiranya dahulu penduduk lebih tertumpu di Hospital Mentakab, namun setelah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dibina pada 15 Januari 2005, rata-rata penduduk memilih hospital ini untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Hospital ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dan canggih. Ia mula beroperasi pada bulan Mac 2005 dan dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah pada 27 Mac 2006. |