Cerita Dari Nelayan
ampung Telok Mas mendapat nama dari satu peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu kala. Menurut cerita orang-orang tua, seorang nelayan telah keluar ke laut untuk mengangkat jaring yang telah siap dipasang. Semasa menarik jaring tersebut, nelayan terasa jaringnya amat berat dan menyangka sesuatu telah tersangkut di jaringnya. Apabila jaring diangkat, nelayan tersebut terkejut apabila mendapati ada rantai emas tersangkut pada jaringnya. Rentetan dari cerita nelayan tersebut, kampung ini diberi nama Kampung Telok Mas.
Kampung ini juga dikaitkan dengan beberapa peristiwa pahlawan Melayu zaman silam seperti Pendekar Raja Ali Haji. Beliau bukan sahaja seorang pahlawan tetapi juga seorang yang mahir dalam hal ehwal agama. Beliau dikatakan pernah berjuang menentang penjajahan Inggeris bersama pendekar Melayu yang lain seperti Datuk Naning di Negeri Sembilan. Pada satu ketika, ada pendapat yang mengatakan tentera Inggeris telah memburu Raja Haji. Bagi menyelamatkan diri, Raja Haji dan pengikutnya telah berkubu di dalam Masjid Telok Mas. Menara masjid itu telah digunakan oleh beliau untuk menyerang balas tentera Inggeris.
Mengenang jasa dan pengorbanan beliau kepada tanah air, sebatang jalan berhampiran Masjid Telok Mas dinamakan Jalan Raja Haji dan wujud hingga kini.
|