Kampung Telok Gong merupakan sebuah perkampungan nelayan di persisiran pantai Selat Melaka. Pantainya yang putih seperti salji menjadi tarikan pengunjung untuk berkelah terutama pada hari cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Terdapat chalet-chalet yang dibina di sepanjang pantai bagi kemudahan pengunjung. Sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pantai Telok Gong, pelbagai jenis chalet disediakan dengan harga berpatutan.

Persatuan Marhaban Kaum Wanita Kampung Telok Gong ditubuhkan pada tahun 2003, diketuai oleh Kamariah Mohamad. Persatuan ini merupakan persatuan yang paling aktif di Kampung Telok Gong. Ia pernah menjadi Johan dalam Pertandingan Nasyid Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi tahun 2004 dan Johan dalam Pertandingan Marhaban dan Tilawah Al-Quran Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada tahun 2005.


Sosioekonomi Keusahawanan

Oleh kerana Kampung Telok Gong terletak di kawasan persisiran pantai Selat Melaka, sudah tentulah industri perikanan menjadi sumber ekonomi utama bagi penduduk kampung ini. Ramai penduduk kampung yang bekerja sebagai nelayan. Ada juga yang berniaga ikan dan makanan laut di pasar Kampung Telok Gong. Terdapat juga di kalangan nelayan yang menghasilkan ikan kering dan dijual kepada penduduk setempat atau para pengunjung.

Bidang keusahawanan di sini kebanyakannya tertumpu di sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Di antara perusahaan yang semakin meningkat di Kampung Telok Gong ialah pembuatan makanan tradisional dan sejenis keropok dikenali sebagai “inang-inang”. Perusahaan ini telah lama dijalankan dan diwarisi oleh kebanyakan penduduk Melayu Melaka. Kebanyakan pengusaha menghasilkannya di rumah mereka sendiri.
 
 
Penafian | Laman Web KTAK