Belia Tonggak Negara
englibatan belia-belia di Kampung Telok Gong dalam kegiatan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini amat menggalakkan tidak kira dalam bidang sukan, kebudayaan dan keagamaan. Belia di kampung ini berusaha meluangkan masa mereka untuk aktiviti yang dianjurkan oleh JKKK walaupun mereka sibuk dengan kerja masing-masing.
 |
|
| Anak muda berekreasi di pantai berhampiran |
|
|
Melalui aktiviti yang diadakan, belia di sini mendapat pendedahan dan pengalaman dalam memberi khidmat dan sumbangan kepada kampung mereka, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Persatuan Belia 4B di sini. Persatuan ini ditubuhkan pada 25 Julai 1999 dan dirasmikan oleh Datuk Abu Seman Haji Yusof, Ahli Parlimen Alor Gajah. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama daripada JKKK dalam memberi bantuan dan khidmat nasihat.
Belia di sini juga bergiat aktif dalam aktiviti yang melibatkan kemasyarakatan seperti aktiviti gotong-royong. Gotong-royong ini diadakan bagi membersihkan kawasan persekitaran ketika menjelang musim perayaan dan kenduri-kendara. Sementara, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Biro Belia ialah program Tadarus Al-Quran Rakan Muda Peringkat Cawangan Kampung Telok Gong dan program Takbir Tahmid dan Marhaban Rakan Muda dari rumah ke rumah. Selain itu terdapat juga pertandingan memancing dan Sukaneka yang diadakan di Jeti Nelayan Kampung Telok Gong.
Terdapat Kumpulan Kompang Kampung Telok Gong yang dikelola oleh Biro Belia. Persatuan ini mengadakan latihan pada setiap malam Sabtu bermula jam 9.00 malam bertempat di Balai Raya Kampung Telok Gong. Kumpulan ini sering kali mendapat jemputan daripada pelbagai pihak tidak kira dari penduduk setempat mahupun kampung sekitar untuk mengadakan persembahan dalam apa jua majlis rasmi atau tidak rasmi.
|