Dari “Ilham” mendapat nama

T

aman Ilham pada awalnya adalah sebahagian daripada sebuah kawasan perumahan Taman Seri Bina yang mula diduduki pada tahun 1991. Oleh kerana pembangunan pesat di sekeliling Taman Seri Bina, penduduknya kian bertambah ramai. Oleh kerana berlakunya migrasi yang tidak diduga, sebuah kawasan baru di dalam Taman Seri Bina mula dimajukan bagi menampung bilangan penduduk yang semakin bertambah. Sebaik sahaja kawasan baru tersebut mula dibuka, para penduduk mula mencari nama yang sesuai untuk dijadikan nama taman tersebut. Hampir kesemua penduduk memerah otak demi mencari sebuah nama yang dirasakan sesuai.

“Nama “Ilham” diambil sempena kerja keras penduduk mencari ilham nama penempatan baru”

 
   

Setelah puas mencari ilham untuk mendapatkan sebuah nama, tiada seorang pun yang tampil untuk memberikan keputusan yang muktamad. Oleh kerana menemui jalan buntu, penduduk akhirnya bersepakat untuk menyerahkan segala tanggungjawab tersebut kepada Menteri Besar Johor ketika itu, iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin. Setelah mendengar akan kisah penduduk yang sudah puas mencari ilham bagi memberikan nama yang sesuai, akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yasin memberi nama Taman Ilham. Nama tersebut diambil bersempena mengingati kisah penduduk yang berusaha keras mencari ilham bagi memberi nama penempatan baru itu. Nama Taman Ilham yang diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dipersetujui oleh seluruh penduduk dan kekal sehingga ke hari ini.

Kini, hampir 20 tahun sudah berlalu, Taman Ilham yang suatu ketika dahulu agak perlahan dari aspek pembangunan telah jauh berubah. Arus pemodenan yang melanda tanah air turut terkena tempiasnya kepada Taman Ilham. Pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur telah disediakan bagi menjamin keselesaan penduduk. Segala pembangunan yang dilaksanakan membolehkan setiap penduduk hidup dalam keadaan harmoni.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK