Kampung Sungai Petai terletak dalam Mukim Sungai Petai, di Daerah Alor Gajah. Jarak kampung ini dengan Bandar Raya Melaka adalah 25 kilometer. Terletak di dalam kawasan Parlimen Alor Gajah, Kampung Sungai Petai mempunyai keunikan yang tersendiri. Rata-rata penduduknya ramah dan budaya berpantun masih diamalkan terutama dalam upacara merisik dan meminang.
“Bakar gaharu kayu cendana,
Bulan terang suasana ceria,
Walaupun hidup hanya sementara,
Sungai Petai aman bahagia”
|
Petai sebenarnya merupakan sejenis buah yang dijadikan ulam oleh kebanyakan orang Melayu di negara ini khususnya di Melaka. Pokok Petai merupakan sejenis tumbuhan yang hidup meliar di hutan-hutan terutama di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand. Petai hidup subur di kawasan beriklim panas dan lembap, justeru ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Tetapi kini, petai sudah ditanam sebagai salah satu daripada produk tani di ladang-ladang kerana ia menjanjikan pulangan yang lumayan. Dalam istilah Botani, petai disebut parkia speciosa dari famili Leguminosae. Petai memiliki khasiat-khasiat tertentu untuk mencegah penyakit jika dimakan dengan cara yang betul.
|