Pokok Linau atau “Lophopetalum Javanica”
eperti dijelaskan, Kampung Sungai Linau terletak di dalam Ladang Peninsular, sebuah ladang nanas yang terbesar di Johor. Ladang yang berkeluasan kira-kira 10,000 hektar itu juga mempunyai tanaman kelapa sawit dan getah. Ia terletak di bawah pihak berkuasa Majlis Daerah Kluang Selatan yang kini ditukar menjadi Majlis Daerah Simpang Renggam yang telah diistiharkan pada 1 Januari 2001.
Menurut sejarah, sebelum Kampung Sungai Linau diteroka, telah wujud sebatang sungai bernama Sungai Linau yang di sepanjang tebing ditumbuhi banyak pokok linau atau nama botaninya lophopetalum javanica. Sungai itu yang bersempadan dengan Sungai Benut terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Simpang Renggam. Air Sungai Linau dikatakan bewarna coklat seperti air tanah. Aliran sungai ini akan bertembung dengan Sungai Benut di kuala sungai.
Nama kampung ini berkemungkinan diambil daripada nama Sungai Linau oleh penduduk-penduduk ketika itu dan kekal sehingga sekarang. Bagaimanapun, banyak perubahan yang telah berlaku di kampung ini. Jalan-jalan kerikil bertanah merah satu waktu dahulu kini telah diturap. Suasana malam yang gelap gelita kini telah diterangi lampu-lampu jalan. Jalan-jalan selain menghubungkan kampung juga menjadi laluan terpenting penduduk di samping menjadi laluan lori-lori yang mengangkut nanas dan kelapa sawit.
|