Parit Sebagai Sempadan
ampung Sungai Linau terletak empat kilometer dari Pekan Simpang Renggam yang mempunyai pelbagai kemudahan awam. Walaupun kampung ini tidak sebegitu besar, namun ia dibahagikan kepada beberapa “parit” kecil yang dikenali penduduk setempat sebagai kampung rangkaian. Ia meliputi Kampung Parit I, Kampung Parit II, Kampung Parit III, Kampung Parit IV dan Kampung Parit V. Pada dasarnya, kampung rangkaian tersebut diketuai oleh seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Setiap kampung di sini mempunyai pengkhususan dalam pertanian. Amnya Kampung Parit I,II, III dan IV menjadi pengeluar utama kelapa sawit yang diusahakan secara individu di bawah program pekebun-pekebun kecil. Hal ini berikutan, kesuburan tanah gambut dan mempunyai sistem saliran yang amat baik.
Berikutan kesesuaian tanah, penduduk Kampung Parit V mengusahakan tanaman nanas dan juga sayur-sayuran seperti bayam dan sawi. Antara “parit”, mereka dihubungkan melalui titi-titi yang dibina merentasi parit-parit tersebut. Dari sudut fizikal, parit itulah yang memisahkan atau menjadi sempadan antara kampung rangkaian tersebut yang sebenarnya merupakan tali air atau pembentung air.
| |
 |
| |
| Ladang jagung di Kampung Sungai Linau |
|
Agak menarik, pada waktu pagi kampung-kampung ini meriah atau riuh-rendah dengan kesibukan penduduk bergerak ke kebun-kebun atau ladang-ladang. Membawa bekalan makanan dan peralatan perkebunan, mereka hanya akan pulang pada lewat tengahari atau petang, setelah menyelesaikan kerja pada hari berkenaan.
Pada masa-masa terluang para penduduk menghadiri aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan di surau atau bermain kompang. Malah, tertubuhnya Kumpulan Kompang Sungai Linang yang selalunya mengambil bahagian dalam majlis-majlis kahwin penduduk setempat.
|