Bestari Ilmu Teknologi Maklumat
erpustakaan desa merupakan salah satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang ilmu di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Selain itu, melalui projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), ia dapat mengurangkan kadar buta teknologi maklumat di kalangan masyarakat luar bandar. Perpustakaan Desa Kampung Sungai Gatom telah ditubuhkan pada tahun 2006 di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan diselia oleh Perpustakaan Negeri Johor.
 |
|
| Penyelia perpustakaan sedang mengajar cara-cara penggunaan komputer yang betul kepada kanak-kanak ini |
|
|
Kemudahan talian Internet yang terdapat di sini menjadikan perpustakaan desa ini salah satu pusat ilmu anak kampung. Kebanyakan pelajar mendapatkan maklumat terkini dengan melayari laman-laman web ilmiah dengan percuma. Terdapat dua buah komputer yang dibekalkan oleh Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK), sebuah mesin pencetak dan mesin pengimbas untuk kegunaan pengguna.
Bangunan perpustakaan yang baru dan selesa ini juga memberikan juadah ilmu yang banyak untuk semua peringkat umur. Daripada seleksi cerita kanak-kanak sehinggalah bacaan ilmiah dan buku rujukan untuk sekolah dan peringkat universiti, perpustakaan ini sememangnya menjadi tumpuan penduduk setempat dan sekitarnya. Selain itu, ruang yang luas juga boleh memuatkan sehingga 30 orang di dalam sesuatu masa. Di sini juga terdapat kemudahan rak untuk menyimpan beg dan kasut.
Di antara aktiviti yang sering kali dijalankan di sini adalah aktiviti mewarnai, melukis dan teka silang kata untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. Sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dari anak kampung tetapi juga kanak-kanak dari kampung sekitar. Aktiviti yang dijalankan pada hujung minggu ini pastinya dapat menguji minda anak-anak dan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berilmu. Kempen penambahan keahlian juga sering kali diadakan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk kampung menjadi ahli perpustakaan.
Waktu operasi:
Buka: Selasa-Sabtu 8.30pagi-5.30petang
Rehat: Selasa- Sabtu 1.00- 2.00 petang
Jumaat 12.15-2.45 petang
Tutup: Ahad, Isnin dan Cuti Umum
|