Keselesaan Untuk Semua
enduduk kampung boleh tersenyum lega dengan kemudahan asas yang agak lengkap di kampung ini. Bukan sahaja kemudahan air dan elektrik secara menyeluruh tetapi penduduk juga boleh menikmati kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang baik di sini. Kampung ini boleh dihubungkan dengan kawasan sekitar melalui jambatan dan jalan raya berturap hampir ke setiap kawasan kampung. Selain itu, perkhidmatan bas, teksi dan kereta api juga memudahkan penduduk untuk bergerak ke kawasan luar kampung.
Kedudukan kampung yang berdekatan dengan kawasan pekan membolehkan mereka merasai tempias arus pembangunan yang semakin meluas. Kemudahan awam seperti masjid, sekolah, perpustakaan desa, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba dan stesen kereta api semestinya menyenangkan penduduk setempat.
Dataran Labis yang menjadi kebanggaan penduduk juga sering kali menjadi pusat perkumpulan untuk beriadah dan melakukan aktiviti berbentuk kemasyarakatan. Sebagai contoh, Sambutan Hari Wesak telah dianjurkan oleh kaum Cina di kawasan ini dan mendapat sambutan yang hangat dari penduduk setempat. Sambutan tersebut terbuka untuk semua kaum dan kaum lain juga boleh sama merasai dan mempelajari budaya, adat istiadat kaum lain. Integrasi sesama kaum ini pastinya memberikan impak positif dan mendorong kepada semangat muhibah masyarakat majmuk.
|