Hasil Seni Yang Kreatif

G

olongan wanita Kampung Sungai Dua Besar bukan sahaja bertindak sebagai suri rumah, malahan mereka juga bergiat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Selari dengan laungan kerajaan yang inginkan wanita berdaya saing, pelbagai aktiviti untuk mereka dilaksanakan di Kampung Sungai Dua Besar. Pihak JKKK yang sedar akan peranan wanita dalam dunia hari ini menganjurkan pelbagai kegiatan khas buat kaum wanita.

Antara hasil kerja tangan Khalijah

Salah satu aktiviti yang melibatkan golongan wanita Kampung Sungai Dua Besar ialah pembuatan kraf tangan. Kraf tangan yang dihasilkan berupa bakul, tudung saji dan barangan perhiasan. Menurut salah seorang wanita Kampung Sungai Dua Besar iaitu Khalijah Ujut, hasil kraf tangan yang direka penduduk kampung akan dijual di Pusat Kraf Tangan Kuala Pilah. Kadang-kala sebahagian kraf tangan akan diberikan kepada para pengunjung yang datang ke Kampung Sungai Dua Besar. Aktiviti pembuatan kraf tangan Kampung Sungai Dua Besar turut mendapat bantuan modal dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi meringankan beban penduduk kampung. Oleh kerana hasil kraf tangan yang direka golongan wanita Kampung Sungai Dua Besar cantik dan menarik, sambutan yang diberikan oleh para pelanggan amat memuaskan. Secara tidak langsung aktiviti membuat kraf tangan menjadi sumber pendapatan alternatif buat golongan wanita Kampung Sungai Dua Besar.

Aktiviti wanita dipantau oleh Biro Wanita yang sentiasa aktif melahirkan idea bernas dalam usaha memajukan lagi kaum wanita. Di antara aktiviti yang sering dianjurkan ialah kelas berzanji, marhaban dan kelas Fardu Ain. Aktiviti ini diadakan setiap minggu dan diketuai oleh seorang guru agama wanita yang berpengalaman. Kaum wanita di sini turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti kelas menjahit dan kelas masakan. Biro Wanita Kampung Sungai Dua Besar kini sedang giat menganjurkan lebih banyak lagi aktiviti untuk kaum ibu.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK