Keakraban Dalam Komuniti
umpulan Yasin Wanita di kampung ini dianggotai oleh 80 orang ahli merupakan perkumpulan wanita yang aktif menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Setiap hari Sabtu, mereka akan berkumpul dan bergilir-gilir membaca Yasin di rumah ahli yang terpilih. Keakraban wanita di kampung ini tidak boleh disangkal kerana apa juga aktiviti yang dianjurkan mereka pasti akan menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban.
Selain itu, mereka juga gemar mengadakan marhaban dari rumah ke rumah ketika musim perayaan. Kelunakan suara dan alunan zikir yang disampaikan memeriahkan rumah-rumah yang dikunjungi pasukan marhaban ini. Mereka juga seringkali terlibat dalam aktiviti sambutan Maulidur Rasul seperti perarakan ke masjid, gotong-royong memasak dan berzanji.
Bagi mereka yang memilih untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), aktiviti masakan sering diadakan seminggu sekali. Terdapat lebih kurang 20 orang ahli yang ingin mengembangkan bakat dalam bidang masakan dan mempelajari pelbagai jenis masakan tradisional dan moden. Yuran yang dikenakan untuk aktiviti masakan ini hanya RM2.00 sahaja sebulan dan terdapat seorang guru bertauliah yang ditugaskan untuk membimbing kaum wanita di sini.
|