Jambatan Sebagai Penghubung Kampung

S

ewaktu anda dalam perjalanan ke kampung ini, anda pasti akan melalui kawasan Kampung Batu 7, Estet Tambang Batu 4, Kampung Asli Putting dan Kampung Padang Kiambang. Kawasan kampung sekitar ini merupakan antara perkampungan yang terdekat dengan Kampung Spang Loi. Penduduk kampung dan kawasan kejiranan sentiasa menjalinkan ikatan perhubungan yang baik melalui aktiviti seperti pertanian, kemasyarakatan dan kesukanan. Ada sahaja aktiviti atau program yang memenuhi kalendar mereka saban tahun.

 
Penempatan awal penduduk Spang Loi bermula di tebing Sungai Muar ini
 

Penduduk-penduduk kampung ini menjalin hubungan erat menerusi jemputan ke majlis perkahwinan atau kenduri-kendera. Sikap ramah dan ringan tulang membantu jiran menjayakan majlis keraian menjadi keutamaan penduduk di sini. Selain itu, aktiviti sukan rakyat seperti pertandingan bola sepak, futsal, memasak, jaguh memakai samping dan aktiviti mewarna juga merapatkan ikatan di antara mereka. Bagi golongan dewasa, mereka menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran kampung berdekatan melalui kegiatan pertanian dan urus niaga hasil sawit, getah dan tanaman kontan.

Jambatan Sungai Muar yang terdapat di kampung ini menghubungkan penduduk kampung dengan dunia luar. Di samping itu, sistem perhubungan ini memudahkan penduduk menjalankan kegiatan harian mereka untuk berulang-alik daripada kampung ini. Jika dahulu, mereka menggunakan sampan untuk ke kampung sebelah, namun kini kemudahan jambatan yang disediakan sememangnya membawa pelbagai keuntungan kepada penduduk kampung. Kemudahan komunikasi seperti penggunaan internet dan telefon bimbit yang meluas juga memudahkan penduduk untuk berhubung dengan masyarakat luar.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK