Sekolah yang menyaksikan perubahan Simpang Pelangai

Generasi Muda Untuk Terus Berjaya

S

emangat serta kesungguhan anak muda untuk mendapatkan ilmu menjadi keutamaan demi merubah nasib keluarga. Banyak institusi pendidikan dibuka di Kampung Simpang Pelangai untuk menunaikan tuntutan tersebut. Antara institusi yang dibuka ialah Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah agama. Institusi pendidikan di sini bukan sahaja menempatkan anak-anak kampung ini sebaliknya menjadi tumpuan anak-anak penduduk kampung berdekatan. Pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pelajar di sini. Antaranya, bas sekolah disediakan bagi mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

 
Sekolah Kebangsaan Kampung Pelangai merupakan satu-satunya sekolah rendah untuk anak-anak kampung ini dan sekitarnya
 

Kebanyakan penduduk di sini mendapat pendidikan formal dan tidak formal yang setaraf. Pada sebelah paginya mereka akan ke sekolah harian, manakala pada waktu petang mereka akan mengikuti kelas agama. Ketika hujung minggu pula mereka mengikuti kelas mengaji Al-Quran. Terdapat juga antara penduduk yang menawarkan perkhidmatan kelas tuisyen untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kebiasaannya subjek yang menjadi keutamaan ialah Bahasa Inggeris dan Matematik untuk pelajar Sekolah Rendah manakala subjek Sains, Kimia dan Matematik Tambahan pula untuk pelajar Sekolah Menengah.

Lantaran menjadikan ilmu dan pendidikan sebagai satu keutamaan dalam kehidupan, ramai anak kampung ini mengharumkan nama kampung dan menjadi kebanggaan semua penduduk. Antaranya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Haji Adnan Yaakob. Beliau menjadi contoh kepada generasi muda untuk terus berjaya dan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk. Lantaran itu, bukan sesuatu yang mustahil anak kampung juga mampu mencipta kejayaan dan menjadi antara pemacu utama pentadbiran dan kemajuan Negeri Pahang Darul Makmur.

 

 
Penafian | Laman Web KTAK