Air Terjun Gapoi

P

enggemar alam semula jadi yang ingin menikmati keindahan air terjun bolehlah ke Air Terjun Gapoi yang terletak di Kampung Gapoi yang mengambil masa kira-kira 20 minit pemanduan bermotor dari Kampung Simpang Pelangai. Air terjun ini tersembunyi di kawasan perkampungan orang asli. Kejernihan air anak sungai Gapoi yang cetek dan mengalir tenang mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan dari kawasan pintu masuk. Deruan bunyi air terjun yang kuat menandakan jarak air terjun yang semakin hampir. Jika takut tersesat, pertolongan penduduk kampung yang kebanyakannya adalah orang asli dapat memberi arah penunjuk.

 
Kawasan air terjun yang jernih menjadi tempat mandi-manda
 

Selain menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk berkelah dan mandi-manda, ia juga turut dijadikan tempat perkhemahan pelajar sekolah. Tapak Perkhemahan Pengakap Simpang Pelangai menjadikan kawasan ini sebagai salah satu kawasan perkhemahan pilihan bagi menjayakan aktiviti yang dijalankan.

Keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di samping kicauan burung-burung dan cengkerik mengalu-alukan kedatangan anda ke sini. Penduduk kampung juga sentiasa memastikan kebersihan sungai bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan ia juga merupakan sumber air utama bagi mereka. Keindahan air terjun ini diharap akan mendapat perhatian pihak berwajib untuk dikomersialkan dan menjadikan salah satu pusat rekreasi yang boleh dibanggakan di Negeri Pahang.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK