Semangat Kejiranan Dieratkan Dengan Talian Persaudaraan
ampung Simpang Gelami didiami 100 peratus kaum Melayu yang beragama Islam. Pola petempatan kampung ini adalah secara berselerak. Walaupun kedudukan setiap rumah tidak tersusun, namun pembinaannya agak rapat antara satu sama lain. Ini kerana kebanyakan penduduk kampung mempunyai talian persaudaraan dengan jiran-jiran mereka.
Rumah-rumah di sini terdiri daripada 148 unit rumah. Terdapat beberapa buah rumah di sini yang masih lagi mengekalkan struktur Minangkabaunya. Namun begitu, dek arus pemodenan di kawasan sekitar yang semakin membangun, sedikit sebanyak mempengaruhi pembinaan struktur rumah daripada jenis kayu kepada jenis batu.
Anggaran penduduk di Kampung Simpang Gelami ialah kira-kira 530 orang. Rata-rata pekerjaan yang diceburi oleh mereka ialah daripada sektor pertanian, penternakan, perniagaan dan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta. Terdapat juga beberapa golongan penduduk yang berpendapatan rendah seperti fakir miskin dan anak yatim. Mereka ini mendapat bantuan daripada pelbagai agensi bagi menaikkan taraf ekonomi sekeluarga. Antaranya ialah daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) , Pejabat Kebajikan Masyarakat, Skim Bantuan Rakyat Termiskin Pejabat Daerah Jelebu serta Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.
Kawasan penempatan di sini diteroka oleh penduduk Melayu sendiri. Sehingga ke hari ini penduduk masih lagi mengekalkan hubungan yang baik di antara penduduk. Saling tegur-menegur dan bantu-membantu merupakan nilai-nilai murni yang diterapkan sejak dari dahulu lagi bagi mengukuhkan semangat kejiranan antara satu sama lain.
|