Di Sana Menanti, Di sini Menunggu

K

ampung Seri Menanti dipercayai telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. Penduduk asalnya berhijrah dari Jawa Indonesia. Lokasinya yang terletak di pinggir pantai Johor menjadi antara faktor penduduk luar datang ke Kampung Seri Menanti. Ada juga peneroka asal kampung yang datang dari kawasan-kawasan sekitar Johor. Nama Seri Menanti dipercayai adalah nama asal kampung yang tidak pernah ditukar sejak ia mula diterokai.

Menurut Ketua Kampung Seri Menanti Ibrahim Haji Ahmad, nama Seri Menanti diambil sempena sebuah peristiwa yang pernah berlaku di sini suatu ketika dahulu. Ketika itu terdapat dua orang penduduk yang berpengaruh dan ingin menjadi Ketua Kampung. Ketika itu, Seri Menanti terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pesisir pantai dan bahagian daratan yang terletak agak jauh dari kawasan pantai. Kedua-dua penduduk yang berpengaruh ini datangnya dari kedua-dua kawasan tersebut. Oleh sebab tidak mahu menyakiti hati masing-masing, kedua-dua penduduk yang ingin menjadi ketua kampung tersebut saling menunggu dan menanti sehingga salah satu pihak mengalah. Namun, apakan daya masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang inginkan ketua mereka menjadi pentadbir kampung.

Namun, nasib tidak menyebelahi penduduk di kawasan pesisir pantai kerana calon ketua kampung mereka telah meninggal dunia. Oleh yang demikian ia memberi peluang kepada calon ketua yang seorang lagi untuk memegang tampuk pemerintahan. Lantaran peristiwa menunggu dan menanti itulah penduduk kampung memberikan nama kampung ini sebagai Kampung Seri Menanti. Ada juga yang mengatakan sewaktu berlakunya peristiwa tersebut, banyak Pohon Meranti (Shorea albida) yang tumbuh melata di segenap kawasan kampung.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK