Menjanjikan Kualiti Kepada Pelanggan

A

ktiviti keusahawanan di Kampung Seri Menanti hanya melibatkan segelintir kecil penduduk kampung. Di antara perusahaan yang terdapat di Kampung Seri Menanti ialah perusahaan membuat Gula Masak. Gula Masak ialah sejenis gula yang lebih kurang sama bentuknya dengan Gula Melaka cuma bahannya sahaja yang berbeza. Gula Masak berasaskan kelapa, gula dan air. Perusahaan yang dijalankan oleh Jesam Sagimin telah dijalankan sejak enam tahun yang lalu. Menurut beliau, proses membuat Gula Masak agak rumit kerana memerlukan masa yang agak lama. Namun berkat kesabaran dan usaha gigih beliau kini telah mampu memperoleh pendapatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.

Gula Masak yang telah pun siap untuk dipasarkan akan diisikan ke dalam kotak sebelum dihantar kepada peraih di sekitar Bandar Muar. Beliau kini mempunyai seramai enam orang pekerja bagi membantu perusahaan yang dijalankan.

 
Seorang pekerja sedang menuang gula melaka ke dalam acuan
 

 

  “Air soya yang dihasilkan oleh Rosli sentiasa mendapat sambutan hangat penduduk setempat kerana rasanya yang enak dan asli”
   

Satu lagi perusahaan yang terdapat di sini ialah perusahaan membuat air soya yang dijalankan oleh Rosli Sulaiman. Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang ini sejak lima tahun yang lalu memperoleh latihan dan kursus khas anjuran sebuah agensi kerajaan. Proses membuat air soya yang agak sukar memerlukan kesungguhan bagi penelitian menghasilkan air soya yang asli dan bermutu. Menurut beliau, kacang soya yang dibeli akan direndam terlebih dahulu selama lima jam sebelum ia dikisar menggunakan mesin kisar khas. Setelah dikisar sehingga hancur, soya akan dimasak bersama gula sebelum boleh dijual kepada para pelanggan.

Air soya yang beliau hasilkan sentiasa mendapat sambutan hangat penduduk setempat kerana rasanya yang enak dan asli. Beliau yang mempunyai enam orang pekerja akan menjual air soya dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Seri Menanti dan juga di Bandar Muar. Pelanggan boleh mendapatkan sebungkus soya pada harga serendah RM2.50. Selain itu, beliau turut membuat cincau untuk dijual kepada para pelanggan. Beliau yang mampu memperoleh pendapatan sekitar RM100.00 sehari kini dalam proses untuk memajukan lagi perusahaan yang dijalankan.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK