Mula Dibuka Tahun 1820-an

K

ampung Sanggang sama seperti kampung-kampung lain yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejarah Kampung Sanggang bermula seawal tahun 1820-an, apabila sekumpulan orang yang datang dari Kuala Semantan, Temerloh dan Kampung Bangau berusaha mencari tempat baru lantaran kesesakan penempatan, setelah mereka puas berjalan mereka menyeberangi anak sungai yang kini dikenali sebagai Sungai Sanggang.

“Nama Kampung ini diambil sempena burung enggang yang banyak terdapat di kawasan tersebut”  
   

Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan dengan menyusuri tebing Sungai Pahang sehinggalah mereka menemui satu lagi anak sungai iaitu Sungai Ati. Apabila menjelang senja, mereka berhenti rehat dan terus bermalam di situ. Pada keesokan harinya, mereka berjalan-jalan di antara kedua anak sungai tersebut sehinggalah mereka menemui tiga buah paya. Lantaran itu, mereka telah bersepakat untuk membuka penempatan baru di situ kerana beberapa faktor - terdapat dua anak sungai, hutannya tidak begitu tebal, tidak menemui binatang buas sepanjang berada di situ dan berhampiran dengan Sungai Pahang.

Pembukaan penempatan baru tersebut diketuai Abu Bakar dan bersama-sama beberapa orang lain, mereka telah sepakat memberikan nama kampung ini dengan nama Kampung Sanggang berikutan terdapat banyak burung enggang yang berterbangan di kawasan tersebut. Oleh sebab pada zaman dahulu jika binatang, burung atau sebagainya yang mempunyai kehebatan umpamanya cantik, besar, gagah atau pintar maka permulaannya akan disebut dengan nama “Sang”. Maka dari sebutan Sang Enggang maka ia bertukar kepada “Sanggang” sehinggalah sekarang.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK