Pejabat Daerah Menjadi Perpustakaan

M

elangkah ke perpustakaan, sejuta ilmu diperoleh merupakan ungkapan yang sinonim apabila anda melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Perpustakaan Awam Cawangan Rembau juga sentiasa memastikan ilmu dan maklumat yang dibekalkan dapat memberi manfaat kepada pengunjungnya. Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) ini juga bertujuan untuk merapatkan jurang digital di antara masyarakat pedalaman dan masyarakat di kawasan bandar.

Perpustakaan Awam Cawangan Rembau, Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada tahun 1991. Bangunan ini masih mengekalkan ciri binaan Inggeris yang sungguh unik kerana dahulunya, ia adalah Pejabat Daerah Rembau. Sehingga tahun 2008, perpustakaan ini mempunyai lebih kurang 6,000 ahli berdaftar dan purata keahlian ialah seramai 60 hingga 70 orang setiap bulan. Yuran keahlian adalah RM5 untuk golongan dewasa berumur 21 tahun ke atas, RM3 untuk golongan remaja berumur dari 13 hingga 21 tahun dan RM1 untuk golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

 
 
Perpustakaan Awam Cawangan Rembau

Pelbagai buku untuk kanak-kanak, novel, bahan rujukan pendidikan dan buku-buku ilmiah tersergam indah di rak-rak buku yang terdapat di sini. Selain persekitaran yang selesa, terdapat juga sudut membaca bagi golongan dewasa dan kanak-kanak mengikut jenis dan bahan bacaan masing-masing. Selain itu, terdapat juga majalah-majalah berbentuk ilmiah dan bacaan ringan disediakan di sini.

Perpustakaan ini sering menganjurkan aktiviti dan juga pertandingan untuk pengunjung dan juga ahli perpustakaan. Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Kad Ucapan Hari Ibu yang dianjurkan mendapat sambutan yang positif daripada kanak-kanak di sini. Selain daripada menguji minda, peserta juga dapat menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam membuat kad ucapan dan menyatakan rasa kasih sayang terhadap ibu mereka. Program Kempen Membaca pula dijalankan setiap tahun untuk memupuk sikap membaca bagi setiap generasi muda hingga dewasa.

 
Kemudahan komputer dan internet
 

Kemudahan penggunaan komputer dan juga talian Internet juga membuatkan ramai pengunjung gemar untuk ke sini. Kapasiti perpustakaan ini boleh memuatkan kira-kira 100 orang dalam sesuatu masa. Terdapat empat orang pekerja perpustakaan yang memberi bantuan jika terdapat sebarang kesulitan. Mesin pengimbas dan pencetak juga membantu pelajar-pelajar untuk menyiapkan kerja rumah atau tugasan sekolah.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK