Pembinaan Hospital Rembau
linik Kesihatan Rembau merupakan tempat penduduk setempat dan kawasan sekitarnya mendapatkan rawatan kesihatan. Klinik kesihatan yang besar ini menjadi pilihan penduduk di sini jika terdapat sebarang masalah kesihatan atau membuat pemeriksaan kesihatan. Terletak di kawasan Pekan Rembau, ia memudahkan setiap penduduk untuk bertandang dan mendapatkan rawatan yang diperlukan.
Perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kesihatan ini ialah klinik ibu mengandung, klinik pergigian, klinik pesakit luar, klinik warga emas dan pengimejan serta diagnosis. Bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit jantung, mereka perlu membuat temu janji terlebih dahulu. Terdapat beberapa doktor dan kakitangan kesihatan yang akan membantu apa jua masalah kesihatan anda.
Hospital terdekat untuk rawatan lanjut adalah di Seremban dan Tampin. Jarak untuk kedua-dua hospital tersebut adalah lebih kurang 30 minit pemanduan daripada Pekan Rembau. Terdapat kemudahan ambulans jika terjadi sebarang kes-kes kecemasan. Pada masa akan datang daerah Rembau bakal mempunyai hospital sendiri dan batu asas telah pun diletakkan di kawasan tersebut. Hospital yang akan siap ini pastinya akan memberi manfaat untuk semua penduduk di kawasan Rembau dan daerah sekitarnya. |