Belia Pemacu Masa Depan
elia pemacu masa depan negara. Ungkapan tersebut seiring dengan azam dan matlamat belia di kampung ini untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan meningkatkan modal insan masyarakat Rembau. Sumbangan belia terhadap pembangunan kampung adalah menerusi penglibatan dalam sektor perkhidmatan awam di pusat pentadbiran daerah Rembau dan juga menerusi aktiviti kesukanan dan kemasyarakatan.
Belia di sini gemar menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti sukan di padang futsal dan gelanggang bola keranjang yang terdapat di Pekan Rembau. Mereka akan berkumpul dan beriadah bersama-sama penduduk setempat dan ada kalanya berlatih untuk pertandingan sukan peringkat kampung atau daerah. Kehadiran belia di kawasan riadah ini memeriahkan lagi Pekan Rembau pada setiap petang dan hujung minggu.
Terdapat juga aktiviti kemasyarakatan yang diikuti oleh golongan belia di kampung ini. Permainan alat muzik tradisional seperti rebana ubi masih menjadi warisan kepada golongan belia di kampung ini. Ada di antara belia yang berminat dalam kesenian dan kebudayaan tradisional seperti tarian piring, silat randai dan juga tarian terinai. Kesenian dan kebudayaan yang unik ini perlulah dipelihara supaya generasi akan datang dapat merasai seni tradisional turun-temurun bersama. |