Bangunan Warisan

S
 
 
Banyak aktiviti yang boleh dijalankan di Pantai Port Dickson

ektor pelancongan merupakan salah satu daya tarikan utama di Port Dickson. Keindahan pantai yang putih bersih dan sesuai untuk aktiviti perkelahan adalah faktor utama menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan di Port Dickson. Pantai Teluk Kemang sentiasa menjadi kunjungan ribuan pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati angin pantai. Namun, tidak ramai mengetahui bahawa Port Dickson bukan sahaja kaya dengan pantainya malahan pelbagai tempat bersejarah terdapat di sini.

Kota Lukut

"Kota Lukut sesuai bagi para pencinta sejarah tanah air yang ingin melihat bagaimana unik dan utuhnya seni bina kota lama ini."  
   

Kota Lukut merupakan bekas tapak lama sebuah istana kerajaan Selangor Lama. Ketika itu, Lukut terletak di bawah jajahan Negeri Selangor. Kota Lukut dibina oleh Raja Jumaat Raja Jaa’far pada tahun 1847 semasa zaman pemerintahan Sultan Selangor ke-3, iaitu Sultan Muhammad Shah. Kota Lukut terletak di atas puncak bukit yang dikenali sebagai Bukit Gajah Mati atau Bukit Raja oleh masyarakat setempat. Kota yang berbentuk empat segi bujur berukuran kira-kira 200 meter panjang dan 100 meter lebar dikelilingi parit yang dalam bagi mengelak serangan musuh. Kota ini merupakan bukti utama bahawa Lukut pernah mengecapi zaman kegemilangan suatu ketika dahulu.

Pelancong juga boleh berkunjung ke sebuah perigi beracun yang pernah dijadikan tempat pesalah berat dihukum di dalam Kota Lukut. Menurut penduduk, perigi beracun ini juga merupakan terowong rahsia yang boleh tembus terus ke laut. Kota Lukut sesuai bagi para pencinta sejarah tanah air yang ingin melihat bagaimana unik dan utuhnya seni bina kota lama ini. Kota Lukut kini terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Port Dickson. Di samping itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menarik kedatangan para pelancong.

Rumah Api dan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

 
 
Panorama indah dari Rumah Api Tanjung Tuan

Satu lagi tinggalan sejarah yang sesuai dijadikan lokasi pelancongan di Port Dickson ialah Rumah Api Tanjung Tuan. Suatu ketika dahulu Rumah Api Tanjung Tuan turut dikenali sebagai Cape Richardo. Rumah Api Tanjung Tuan merupakan salah satu rumah api tertua di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1819 oleh kerajaan British ketika zaman Stamford Raffles. Rumah Api yang wujud sekarang merupakan binaan semula setelah rumah api yang lama musnah akibat peperangan.

Rumah Api Tanjung Tuan dibina di atas puncak bukit yang menghadap Selat Melaka. Pengunjung dapat menyaksikan keindahan panorama laut yang terbentang indah dari puncak bukit. Rumah Api ini membantu kapal-kapal dagang dan nelayan untuk singgah ke pelabuhan. Selain itu, ia turut menjadi salah satu lokasi proses pencerapan anak bulan. Lazimnya proses pencerapan anak bulan dilakukan untuk menentukan tarikh Hari Raya dan juga puasa bagi masyarakat beragama Islam.

Untuk sampai ke Rumah Api Tanjung Tuan, pengunjung perlu berjalan kaki melalui Hutan Rekreasi Tanjung Tuan selama kira-kira setengah jam. Biarpun penat mendaki bukit, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis flora yang tumbuh di sekitar kawasan hutan. Antara jenis tumbuhan yang terdapat di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan ialah pokok meranti tembaga (shorea leprosuka), pokok sentul (Sandoricum koetjape) dan pokok saga daun tajam. Dianggarkan terdapat lebih 54 spesies burung mendiami kawasan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK