Pemandangan waktu senja di Pantai Port Dickson

Bandar Pantai Peranginan

P
"Pelbagai jenis chalet dan hotel tersergam indah di sepanjang pesisiran pantai turut menambahkan lagi keindahan panorama di Port Dickson. Pantai di Port Dickson turut menjadi tumpuan para pencinta alam yang ingin menikmati panorama indah tatkala sang mentari terbenam di ufuk barat."  
   

ort Dickson, destinasi pelancongan terkenal tanah air yang begitu sinonim dengan keindahan pantainya yang panjang, landai dan pasirnya memutih halus. Justeru, tidak hairanlah kiranya Port Dickson menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan juga luar negara tatkala tiba cuti hujung minggu ataupun musim cuti persekolahan. Port Dickson terletak di pesisiran pantai Selat Melaka yang kaya dengan pelbagai hidupan akuatik dan khazanah laut. Port Dickson turut menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang ingin lari dari hiruk-pikuk kota. Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Seremban dan 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Port Dickson bukan sahaja kaya dengan keindahan pantainya bahkan turut kaya dengan pelbagai tinggalan sejarah.

Bagi anda yang pertama kali menjejakkan kaki ke Port Dickson, pastinya teruja dengan pemandangan indah di sepanjang pesisiran pantai yang sukar hendak diluahkan menerusi kata-kata. Pelbagai jenis chalet dan hotel tersergam indah di sepanjang pesisiran pantai turut menambahkan lagi keindahan panorama di Port Dickson. Pantai di Port Dickson turut menjadi tumpuan para pencinta alam yang ingin menikmati panorama indah tatkala sang mentari terbenam di ufuk barat. Justeru, tidak hairanlah Port Dickson sentiasa dipenuhi ribuan pengunjung yang ingin beristirehat bersama keluarga tercinta pada hujung minggu.

 
 
Keriangan kanak-kanak yang
bermandi-manda ini jelas tergambar

Terletak di negeri yang terkenal dengan adat perpatih, pengunjung dari pantai barat terutamanya Kuala Lumpur yang ingin datang ke Port Dickson boleh melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang mengambil masa kira-kira sejam 45 minit. Manakala bagi pelancong yang datang dari arah Seremban, anda boleh melalui Lebuh Raya Seremban Port Dickson. Segala penat lelah ketika memandu akan lenyap begitu sahaja sebaik anda menemui satu pintu gerbang tersergam indah menyambut kehadiran setiap pelancong. Anda pasti teruja melihat pantai yang putih bersih di sepanjang jalan. Aktiviti perkhemahan dan sambutan hari keluarga merupakan suatu yang lumrah di sini.

Perpustakaan Awam Port Dickson terletak dua kilometer dari Pekan Port Dickson di mana kedudukannya betul-betul di tengah kawasan bandar. Perpustakaan awam ini terletak di belakang pusat membeli-belah The Store. Oleh sebab lokasi perpustakaan ini strategik, ia memudahkan pengunjung menggunakan perkhidmatan yang ada di dalam perpustakaan tersebut. Pemandangan pantai yang indah turut memberi ketenangan kepada pengunjung perpustakaan ini.

Port Dickson terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson. Kemudahan sistem jalan raya yang berturap memudahkan pelancong dan juga penduduk melakukan aktiviti harian. Port Dickson merupakan sebuah bandar peranginan yang lengkap dengan segala kemudahan. Oleh itu, pengunjung dan penduduk di sini tidak perlu pergi ke bandar-bandar berhampiran bagi melaksanakan pelbagai urusan harian.

 

 
 
Penafian | Laman Web KTAK