Pelbagai Anugerah Dimenangi
| |
 |
| |
| Simpang jalan berhadapan Parit Betak, berdekatan Kampung Permatang Duku |
|
ampung Permatang Duku dikelilingi oleh Kampung Parit Kerimon, Kampung Parit Stan, Kampung Parit Archong, Kampung Parit Betak dan Kampung Permatang Sepang. Pekan Benut merupakan pekan yang paling hampir dengan Kampung Permatang Duku. Jarak perjalanan hanya memakan masa 10 minit ke Pekan Benut. Keluasan Kampung Permatang Duku kira-kira 200 hektar dan kebanyakannya digunakan untuk tanaman pokok kelapa sawit. Justeru, tidak hairanlah ramai penduduk di sini yang bekerja sebagai peladang.
Penduduk Kampung Permatang Duku melakukan aktiviti kesukanan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Permatang Duku yang sering mendapat sambutan dari kampung-kampung sekitar. Pelbagai aktiviti sukan diadakan seperti sukan bola sepak, bola jaring, futsal dan badminton di Kampung Permatang Duku. Aktiviti ini disertai oleh pelbagai generasi, baik kanak-kanak, belia mahupun dewasa. Aktiviti ini merupakan acara tahunan penduduk di sini dengan harapan penduduk dan JKKK dapat bersatu-padu dalam memelihara sifat kejiranan. Aktiviti-aktiviti kebudayaan pula seperti Kumpulan Kompang, Kumpulan Tarian Zapin dan permainan tradisional turut dianjurkan.
Kebanyakan penduduk di kampung ini menghargai kepentingan dan mengutamakan aspek kejiranan dalam kehidupan seharian. Semangat kejiranan adalah asas paling penting di dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, maju, sejahtera dan harmoni.
Kampung Permatang Duku pernah memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan di Negeri Johor. Antaranya:
Tahun Anugerah Kejayaan
2007 - Pertandingan Keceriaan Kampung dan Pencahayaan Sempena Bulan Kemerdekaan ke 50 Johan Daerah
2006 - Pertandingan Keceriaan Kampung dan Pencahayaan Sempena Bulan Kemerdekaan ke 49 Johan Mukim, Daerah dan Kebangsaan
2003 - Desa Cemerlang di bawah anjuran Pejabat Daerah Pontian Naib Johan
2000 - Kampung K3P di bawah anjuran Kementerian Penerangan Johan Mukim, Daerah dan Kebangsaan
Anugerah-anugerah yang dicapai oleh Kampung Permatang Duku secara tidak langsung telah mempromosikan kampung ini sebagai salah satu tempat menarik di Negeri Johor. Oleh itu, nama Kampung Permatang Duku sudah tidak asing lagi bagi penduduk sekitar Daerah Pontian. Penduduk kampung di sini terkenal dengan kehidupan sosial mereka yang masih lagi menerapkan nilai-nilai hidup masyarakat Melayu tradisional.
|