Wujud Sejak Tahun 1895
ukim Jabi dipercayai telah diteroka sejak tahun 1895 lagi. Peneroka asal kawasan ini adalah orang-orang Melayu yang tinggal di kawasan sekitar Segamat dan yang datang dari serata Negeri Johor. Menurut orang-orang tua di Mukim Jabi, penduduk yang datang meneroka Mukim Jabi diketuai oleh Tuan Haji Senor Abdullah. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh dan berkarisma sehingga dilantik sebagai Penghulu pertama Mukim Jabi.
Nama Jabi dipercayai berasal dari sejenis tumbuhan yang suatu ketika dahulu tumbuh meliar di sekitar kawasan Mukim Jabi. Menurut cerita orang-orang tua, ketika penduduk kampung sedang meneroka kawasan kampung, salah seorang peneroka terpandang sepohon pokok rendang yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Oleh kerana sifat ingin tahu yang membuak-buak, peneroka itu bertanyakan kepada rakan-rakan yang lain akan nama pokok tersebut. Malangnya, tiada siapa di kalangan mereka yang tahu jenis pokok tersebut. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, mereka bersepakat untuk mengemukakannya kepada Tuan Haji Senor.
Sebaik sahaja Tuan Haji Senor melihat pokok tersebut, sepintas lalu beliau mengatakan itulah Pokok Jabi. Bersempena peristiwa itulah nama Mukim Jabi digunakan sebagai mengenang kembali peristiwa yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Kecerdasan dan juga kebijaksanaan yang ada pada Tuan Haji Senor Abdullah turut mengangkat martabatnya sebagai seorang tokoh terkenal di Daerah Segamat ketika itu.
“Kebijaksanaan Tuan Haji Senor Abdullah menjadikan beliau seorang tokoh yang terkenal di Daerah Segamat” |
|
| |
|
Orang Bunian
Mukim Jabi juga terkenal dengan kisah mitos orang bunian yang dikatakan turut menghuni kawasan Mukim Jabi. Suatu ketika dahulu ada kalangan penduduk kampung yang pernah mendengar bunyi seperti orang berpindah-randah di kawasan kampung namun, tidak kelihatan seorang pun. Tidak lama kemudian, satu banjir besar telah berlaku di seluruh kawasan Mukim Jabi. Menurut beberapa orang penduduk, bunyi tersebut merupakan salah satu petanda bahawa ada kejadian yang tidak diingini akan berlaku di Mukim Jabi. Selain itu, ada juga penduduk kampung yang mendakwa terdengar bunyi tembakan meriam yang turut menandakan bahawa akan berlakunya kejadian yang tidak diingini di sekitar kawasan Mukim Jabi. Bunyi meriam tersebut bukan sahaja didengar oleh penduduk di Mukim Jabi malahan penduduk di Bandar Segamat turut mendengarnya. Mitos dan legenda bunian di Mukim Jabi pasti akan kekal terpahat dalam ingatan para penduduk kampung.
Kini, setelah hampir 100 tahun Mukim Jabi diteroka, ia telah jauh berubah. Arus pemodenan yang melanda tanah air turut memberi “tempias” kepada kampung-kampung sekitar Mukim Jabi. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi kemudahan para penduduk dan juga pengunjung yang datang ke sini.
|