Pasaran Getah Meningkat

 
Getah dibiarkan beku
 
K

eadaan tanah yang subur dan juga ekosistem yang masih terpelihara menjadi faktor utama kepada kegiatan pertanian di Mukim Jabi. Oleh itu, tidak hairanlah jika penduduk sekitar Mukim Jabi menjadikan sektor pertanian sebagai sumber utama pendapatan mereka. Sektor pertanian di mukim ini lebih tertumpu pada penanaman pokok getah dan kelapa sawit. Dianggarkan hampir sebahagian besar kawasan Mukim Jabi digunakan untuk tujuan pertanian. Oleh itu tidak hairanlah anda dapat melihat banyak ladang getah di sekitar Mukim Jabi. Ada antara ladang-ladang getah ini diusahakan secara berkelompok dan juga individu. Bantuan-bantuan yang diterima dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) secara tidak langsung meringankan beban penduduk kampung. Antara bantuan yang diperoleh berupa baja, racun serangga dan juga anak pokok getah.

Getah-getah beku yang dihasilkan penduduk kampung akan dijual kepada peraih sekitar Mukim Jabi. Harga pasaran getah yang semakin meningkat di pasaran dunia, iaitu kira-kira RM6.39 per kilogram membolehkan para penoreh getah memperoleh hasil yang lumayan. Kenaikan harga getah juga mendorong anak-anak muda kampung untuk turut sama membanting tulang mengusahakan ladang getah yang ada. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan produktiviti malahan dapat menjadikan Malaysia salah satu pengeluar getah utama di dunia.

Bagaimanapun, ada juga pekebun kecil yang terlibat dalam kegiatan tanaman pokok sawit. Buah sawit yang sudah masak kebiasaannya akan dikait sendiri dan dijual di kilang sawit sekitar Daerah Segamat. Kadangkala lori-lori sawit dari kilang akan datang sendiri ke ladang sawit untuk mengambil buah sawit yang hendak dijual.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK