Menguntungkan

“Usahawan Kompang”

S

ektor keusahawanan di Mukim Jabi merupakan salah satu kegiatan yang menjana ekonomi masyarakat setempat. Antara perusahaan yang terkenal di sini ialah perusahaan membuat kompang, iaitu sejenis peralatan muzik tradisional Melayu. Perusahaan Haji Abdul Hamid sekeluarga yang kini diwarisi oleh anak beliau, Zakaria Hamid mula berjinak-jinak dengan pembuatan kompang sejak 15 tahun yang lalu. Perusahaan yang pada awalnya hanya secara kecil-kecilan kini semakin maju sehingga membuka peluang pekerjaan kepada golongan-golongan muda di Mukim Jabi.

 
 
Pembikinan kompang yang amat unik dan terperinci

Proses pembuatan kompang amat unik dan ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Menurut Zakaria, kayu yang paling bermutu untuk menghasilkan kompang yang berkualiti ialah dari jenis kayu halban atau nama saintifiknya Vitex pubescens. Kayu yang diperoleh dari kawasan sekitar akan dilarik menggunakan mesin pelarik khas sebelum dibentuk menjadi kompang. Kulit kambing pula perlu dijemur selama tiga hingga empat jam sebelum dipakukan pada kayu yang telah dibentuk. Menurut beliau lagi, kulit kambing yang menghasilkan bunyi yang terbaik untuk kompang ialah kulit kambing betina.

Beliau kini mampu menyiapkan sehingga 40 kompang sehari hasil bantuan enam pekerja yang dilatih sendiri olehnya. Kompang-kompang yang dihasilkan kebiasaannya akan dipasarkan ke seluruh negara. Beliau juga sering tidak menang tangan menyiapkan tempahan para pelanggan. Perusahaan kompang yang dijalankan turut mendapat bantuan dari Jabatan Haiwan yang kadang kala membekalkan kulit kambing. Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan sebuah kompang pada harga serendah RM15.00 ke RM40.00 bergantung pada saiz.

 
Kucing Parsi yang menjadi kegilaan bagi peminat kucing
 

Perniagaan Kucing

Di samping itu, ada juga penduduk kampung yang menjalankan perniagaan menjual kucing-kucing peliharaan. Perniagaan dijalankan oleh Norhayati Abdul Wahab bermula secara kecil-kecilan sejak tiga tahun yang lalu. Bermula dengan minat yang mendalam terhadap haiwan peliharaan tersebut, beliau kini mempunyai hampir 50 ekor kucing dari jenis Parsi dan “Ming Koon”. Kecomelan dan juga kecantikan bulu-bulu kucing Parsi yang dibela oleh beliau sememangnya menarik perhatian para pengunjung yang datang ke Mukim Jabi. Pengunjung boleh mendapatkan seekor anak kucing Parsi yang berusia tiga bulan pada harga serendah RM350.00 berbanding harga yang mencecah ribuan ringgit di kota-kota besar.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK