Kompleks Al-Falak Khawarizmi
eindahan pantai Tanjung Bidara yang berdekatan Kampung Pasir Gembur amat berpotensi untuk dibangunkan dengan produk-produk pelancongan tertentu. Pantai yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Masjid Tanah mempunyai pantai yang landai serta pasir yang putih bersih. Tambahan pula pelbagai kemudahan seperti tempat meletak kereta dan kemudahan-kemudahan asas yang lain telah disediakan. Sesuai dengan kedudukan pantai yang menjadi kegemaran pelancong, tentunya pengusaha chalet dan hotel dapat mengaut keuntungan lumayan dalam jangka masa panjang. Apa yang didapati permintaan kepada tempat penginapan tidak mencukupi pada waktu hujung minggu, cuti sekolah dan hari-hari kelepasan atau perayaan. Turut ber potensi ialah perniagaan makanan dan minuman serta penyediaan kemudahan sukan laut.
Selain itu, Pantai Pangkalan Balak juga merupakan tarikan kepada pengunjung untuk datang ke Melaka. Pantai ini merupakan kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara dengan kebanyakan kemudahan boleh didapati. Deretan pelbagai chalet persendirian turut menghiasi kawasan pantai bagi keselesaan pengunjung yang ingin bermalam di pantai ini. Antara chalet-chalet yang terdapat di sini ialah Kemunting Beach Resort dan Ismah Beach Resort. Kedua-duanya boleh disewa pada harga yang sangat berpatutan.
Turut menambah tarikan kepada pengunjung ialah Pusat Pengurusan Penyu yang terdapat di Padang Kemunting. Di sini, jika bernasib baik pengunjung berpeluang melihat penyu bertelur. Malah kepada yang berminat boleh meluangkan masa untuk mengetahui kitaran hidup penyu melalui maklumat-maklumat yang terdapat di pusat itu.
Mencerap Anak Bulan
Lebih mencabar, pengunjung berpeluang melawat ke Kompleks Al-Falak Khawarizmi untuk merasai pengalaman meneroka alam dan cakerawala. Pusat ini telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka yang antara lain berfungsi sebagai pusat pendidikan, pelancongan dan penyelidikan mengenai angkasa. Aktiviti melihat atau mencerap anak bulan pada setiap kali Ramdahan dan hari raya sebenarnya dilakukan di kompleks ini. Oleh itu, pentadbiran dan pengurusannya diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Di kompleks tersebut terdapat tiga bangunan utama iaitu Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan. Balai Cerap yang ada di sini digunakan untuk melihat anak bulan. Kewujudan Kompleks Falak Al-Khawarizmi ini memberi peluang kepada masyarakat setempat dan pengunjung luar mempelajari Ilmu Falak dengan lebih mendalam lagi.
|