Kejayaan Menjadi Contoh
atlamat kerajaan untuk melahirkan ramai usahawan Bumiputera seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) memang sesuatu yang patut disanjungi. Di kalangan peniaga-peniaga kecil Melayu telah wujud usahawan-usahawan yang berjaya di dalam bidang-bidang tertentu. Di kampung ini misalnya, telah lahir beberapa orang usahawan di bidang jahitan pakaian, peruncitan, alat-alat tulis dan juga makanan.
Usahawan Asmadi Mohd Tawil berjaya di bidang peruncitan makanan dengan mengusahakan Kedai Mini Rumpun Emas. Produk-produk yang dijual merangkumi segala keperluan dan barang-barang dapur serta peralatan kosmetik. Perniagaan runcitnya dibantu dua orang pekerja tetap dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Di bidang jahitan, kejayaan Nor Saidah Baharom seharusnya menjadi contoh kepada wanita hari ini. Beliau menubuhkan Kedai Jahit Nor dengan dua orang pekerja yang menerima tempahan menjahit pelbagai jenis baju dan pakaian. Bagi mempelbagaikan perniagaan, Kedai jahit Nor juga menjual pelbagai aksesori pakaian terutama yang diminati oleh wanita seperti butang baju, subang, rantai dan labuci.
Setelah penat bekerja, sekali - sekala penduduk-penduduk kampung berehat sambil bersantai di Warung Kopi Basir. Di warung inilah kebanyakan mereka bertukar maklumat di samping mengetahui perkembangan-perkembangan semasa dunia politik, ekonomi dan lain-lain. Pertemuan di kedai kopi seperti ini merupakan kebiasaan kepada penduduk Pasir Gembur dan kadangkala, para pemimpin seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung bertemu untuk mendengar sebarang masalah atau yang menghulurkan pertolongan.
|