Rawatan Moden Dan Tradisional

K

ebanyakan tempat, prasarana kesihatan seperti klinik dan hospital daerah telah disediakan oleh kerajaan. Menyediakan kemudahan seumpama ini sangat penting bagi memastikan orang ramai mendapat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Sehubungan itu, Klinik Desa Tanjung Bidara merupakan klinik desa terdekat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Kampung Pasir Gembur. Matlamat utama klinik desa itu adalah untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk setempat. Kemudahan perkhidmatan yang disediakan antaranya ialah perkhidmatan perancang keluarga dan perkhidmatan kesihatan di sekolah-sekolah.

Bagi rawatan kepada pesakit luar dan kes-kes yang serius, penduduk boleh mendapatkan rawatan doktor di Hospital Masjid Tanah atau di Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak. Hospital kerajaan lain yang terdekat ialah Hospital Alor Gajah atau Hospital Melaka. Seperti yang ditentukan oleh kerajaan, pesakit luar di hospital kerajaan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1.00 dan RM5.00 untuk perkhidmatan pakar. Bagi kes-kes kemasukan ke wad, pembedahan dan lain-lain caj rawatan bergantung kepada bentuk pemeriksaan perubatan yang diterima. Bagaimanapun, bagi kakitangan kerajaan dan kanak-kanak sekolah, mereka mendapat perkhidmatan secara percuma.

Di samping perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan atau swasta, penduduk atas kerelaan sendiri boleh mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal-pengamal perubatan tradisional. Misalnya, Perkhidmatan Urutan Tradisional dan Refleksologi Asiah dibuka kepada orang ramai yang mengalami masalah sengal-sengal badan atau kaum ibu yang mahukan urutan selepas bersalin.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK