Kemudahan Dijaga Bersama
elbagai kemudahan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) seperti padang permainan kanak-kanak, padang awam dan lain-lain digunakan dengan sebaik-baiknya. Agensi-agensi lain juga turut membekalkan kemudahan seperti telefon awam bagi kegunaan penduduk yang tidak mempunyai telefon di rumah.
Di samping itu kemudahan asas seperti elektrik dan air dinikmati sepenuhnya oleh penduduk kampung. Di sini juga penduduk mendapat liputan telefon bimbit daripada beberapa syarikat pengendali. Terdapat juga di kalangan mereka yang melanggan perkhidmatan internet jalur lebar atau jenis “dial-up”. Kemudahan internet lebih diperlukan oleh anak-anak penduduk kampung sama ada yang bersekolah atau yang menuntut di pusat pengajian tinggi.
Bagi memudahkan perhubungan penduduk ke sesuatu tempat, jalan raya yang disediakan oleh kerajaan tidaklah menghampakan. Di samping itu, terdapat perkhidmatan bas awam dan teksi yang menghubungkan Pasir Gembur ke bandar Melaka, Masjid Tanah atau Alor Gajah. Kemudahan asas yang diterima oleh penduduk kampung ialah bekalan air yang bersih dan mencukupi serta bekalan elektrik. Selain itu, kemudahan pendidikan seperti sekolah menengah dan sekolah rendah, surau, perpustakaan desa, gelanggang badminton, balai raya, gerai makan turut disediakan.
Kawasan kampung yang berdekatan dengan Pekan Masjid Tanah memudahkan orang ramai untuk menjalankan aktiviti harian. Di pekan tersebut turut terdapat kemudahan institusi perbankan dan kewangan, pejabat-pejabat kerajaan, pejabat pos dan kemudahan pasar raya. |