Perpustakaan ini banyak menyediakan bahan rujukan dan bacaan ilmiah

Maklumat Di Hujung Jari

P

erpustakaan Desa merupakan salah satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang ilmu di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Selain itu, melalui projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dapat meningkatkan pengetahuan teknologi maklumat di kalangan masyarakat luar bandar. Melalui program ini, masyarakat kampung mendapat pendedahan mengenai kegunaan teknologi maklumat dalam kehidupan kini.

Perpustakaan Desa Parit Senah telah ditubuhkan pada tahun 2007 atas inisiatif untuk merapatkan jurang ilmu masyarakat kampung. Perpustakaan ini di bawah pentadbiran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan diselia oleh Perpustakaan Negeri Johor. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 2,500 buah buku berbentuk ilmiah, rujukan untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, novel, fiksyen dan bahan bacaan ringan. Peruntukan lebih kurang RM30,000 telah dibelanjakan untuk melengkapkan buku-buku di sini.

 
Belia menggunakan perkhidmatan internet
 

Anak-anak muda yang datang ke sini bukan sahaja untuk membaca buku, tetapi mereka juga menggunakan kemudahan internet yang disediakan untuk membuat kajian dan menyiapkan tugasan sekolah. Ternyata dengan kemudahan komputer, mesin pencetak dan mesin pengimbas yang disediakan oleh Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi telah dimanfaatkan oleh pengunjung.

Perpustakaan ini juga aktif menganjurkan program dan aktiviti seperti Program Jom Membaca, peraduan mewarna untuk kanak-kanak tabika, peraduan gubahan tuala atau kain untuk wanita dan perancangan untuk lawatan sambil belajar ke PNM, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Ia bukan sahaja dapat menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke sini, namun ia juga dapat menambah keahlian perpustakaan. Tiada bayaran dikenakan untuk menjadi ahli dan anda boleh meminjam buku dalam tempoh dua minggu untuk dua buah buku. Perpustakaan ini juga menjadi pilihan orang kampung sekitar yang ingin mendapatkan maklumat tambahan dan menimba ilmu.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK