Belia Bersemangat Waja
ilangan belia yang ada di kampung ini boleh dikatakan ramai jika dibandingkan dengan generasi tua dan kanak-kanak. Belia di kampung ini mempunyai aspirasi dan semangat waja dalam pelbagai pendidikan, kesukanan dan kemasyarakatan. Nilai-nilai murni menjadi teras pembangunan modal insan belia di kampung ini supaya dapat memacu jentera pentadbiran kampung pada masa akan datang
| "Mereka sering beradu tenaga menunjukkan kebolehan masing-masing di dalam apa jua pertandingan sukan yang dianjurkan oleh pihak jawatankuasa kampung." |
|
| |
|
Di Parit Senah terdapat Persatuan Belia 4B yang sangat aktif dengan pelbagai aktiviti sama ada di dalam dan di luar kampung. Selain itu, belia di sini juga sanggup berkorban apa sahaja demi kesejahteraan kampung. Sehingga kini, lampu-lampu jalan yang menerangi kampung dibiayai oleh persatuan ini. Inisiatif yang diambil untuk memberi cahaya di sepanjang jalan kampung sejak tahun 1992 ini membuka mata penduduk kampung bahawa golongan belia mampu menyumbang serba sedikit dalam kemajuan kampung.
Belia di sini juga gemar melakukan aktiviti-aktiviti di waktu senggang sebagai hobi atau lain-lain. Antara aktiviti yang dilakukan adalah bermain futsal atau permainan-permainan lain. Aktiviti seperti ini telah berjaya menyatupadukan golongan muda dengan berinteraksi sesama mereka ketika beriadah bersama-sama. Selain itu, para belia mempunyai hubungan yang baik sesama kampung. Mereka sering beradu tenaga menunjukkan kebolehan masing-masing di dalam apa jua pertandingan sukan yang dianjurkan oleh pihak jawatankuasa kampung.
Dari sudut kebudayaan dan kesenian, terdapat pasukan kompang yang dianggotai oleh belia kampung. Mereka akan memenuhi undangan untuk majlis rasmi atau kenduri kahwin. Kumpulan kompang ini akan berlatih sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk memantapkan persembahan dan mempelbagaikan kemahiran bermain kompang. |