“Program Kebun Dapur”

W

anita merupakan antara golongan yang aktif dalam komuniti Kampung Parit Lapis Sri Dalam. Pada siang hari kaum hawa ini melakukan aktiviti berkebun secara kecil-kecilan. Kebanyakan mereka adalah golongan suri rumah tangga.

  “Program Kebun Dapur ini bertujuan membudayakan sifat bertani di kawasan laman rumah masing-masing”
   

Kumpulan Pengembang Wanita (KPW) Kampung Parit Lapis Sri Dalam yang ditubuhkan di bawah Jabatan Pertanian merencanakan pelbagai aktiviti agar masa terluang golongan wanita di sini terisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. KPW dipengerusikan oleh Hajah Maimunah Samsi.

Antara aktiviti yang diadakan oleh KPW ialah Program Kebun Dapur. Sebuah program usahasama KPW dan Biro Wanita JKKK Kampung Parit Lapis Sri Dalam. Program Kebun Dapur ini bertujuan membudayakan sifat bertani di kawasan halaman rumah masing-masing. Selain itu, kursus membuat kek diadakan di Yong Peng anjuran bersama KPW dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Biro Wanita di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Lapis Sri Dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan. Antara aktiviti yang dianjurkan adalah kelas Fardu Ain dan kelas bacaan yasin diadakan pada setiap hari Jumaat bertempat di Masjid Nurul Huda Kampung Parit Lapis Sri Dalam.

Malah, kelas binaan ihsan juga diadakan di masjid tersebut. Kelas ini diajar oleh Ustazah Rosmah Binti Masrum di bawah seliaan KEMAS. Kelas ini diadakan mengikut perancangan Ahli masjid dan pihak KEMAS.

Terdapat juga kelas membuat kerepek di mana pesertanya mendapat tunjuk ajar dari penduduk sekitar yang berpengalaman membuat kerepek. Secara tidak langsung, golongan wanita dapat mempelajari sesuatu yang baru dan sekaligus boleh meningkatkan pendapatan keluarga.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK