Melintasi kawasan penanaman kelapa sawit begitu melekakan. Apatah lagi bagi mereka yang pertama kali memijakkan kaki di bumi Batu Pahat ini. Sesekali lari dari hiruk-pikuk kota, hati anda pasti dihambat kedamaian. Deretan pokok-pokok kelapa sawit menghiasi di bahu jalan dan ada juga beberapa kawasan yang dipenuhi tanaman getah. Apabila memasuki kawasan Bandar Batu Pahat, kelihatan pembangunan yang tidak kurang hebatnya. Bangunan-bangunan kerajaan tersergam di tengah-tengah bandar. Turut dibangunkan beberapa pusat membeli-belah untuk kemudahan penduduk Batu Pahat.


Keusahawanan Pelancongan

Perniagaan pakaian bundle turut membantu pendapatan anak muda di kampung ini. Perniagaan seperti ini sememangnya menjadi landasan kepada anak muda kampung untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Walaupun hanya menggunakan modal secara kecil-kecilan, namun pengusaha perniagaan bundle ini berharap akan dapat mempromosikan produk jualannya dan mengembangkan empayar perniagaannya. Jenama popular seperti Nike, Canterbury, Levis dan Hang Ten boleh didapati di sini.

‘Wet World Batu Pahat Village Resort’ merupakan pusat pelancongan berhampiran dengan Kampung Parit Badak. Ia terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan kampung. Keunikan taman tema air ini menjadikan ia sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di Negeri Johor. Keindahan taman permainan air ini terserlah sejurus anda melangkah kaki ke sini. Selain itu, lokasi ini juga berada di dalam kawasan Tasek Merdeka yang sememangnya sinonim dengan kedamaian dan keindahan tasik bekas lombong ini.
 
 
Penafian | Laman Web KTAK