Perniagaan Kecil-Kecilan Lebih Digemari

P

elbagai jenis perniagaan dijalankan di sekitar kawasan Kampung Padang. Ada yang menjual makanan ringan di pinggir jalan kampung dan ada yang membuka kedai makanan. Kedai Runcit Hasmah boleh ditemui di pinggir jalan berdekatan Balai Raya Kampung Padang. Kedai runcit ini telah dibuka lebih dari 30 tahun yang lalu. Perniagaan keluarga yang diwarisi secara turun temurun ini banyak berjasa kepada penduduk sejak dari tahun 1970-an lagi. Pada masa itu, tidak ramai penduduk yang mampu memiliki kenderaan bermotor. Kekurangan ini sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan barangan asas seperti makanan di pekan berhampiran. Kewujudan kedai runcit ini sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk kampung.

Bagi Rahmah Omar, pengusaha kedai makan yang menjual Nasi Ayam Istimewa Kampung Padang, kebanyakan pelanggannya gemarkan kesegaran ayam panggang dan sambal cili buatannya. Kedai makan yang terletak di hadapan rumah beliau, biasanya dikunjungi pelanggan-pelanggan yang datang dari merata tempat. Ada yang datang dari Klebang, Pantai Belimbing dan juga Durian Tunggal. Hampir 90 peratus pelanggan beliau datang dari luar Negeri Melaka.

Tidak jauh dari Kampung Padang terdapat sebuah pusat perniagaan iaitu Malim Business Park’ yang menjadi tumpuan peniaga sekitar Kampung Padang. Pusat perniagaan ini menyediakan bangunan untuk para peniaga menjalankan perniagaan mereka. Pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan oleh penduduk di kawasan sekitar untuk menambah pendapatan keluarga. Ada yang membuka kedai gunting rambut, kedai dobi, kedai perabot, salun kecantikan dan sebagainya. Sebuah kopitiam turut terdapat di pusat perniagaan ini, di mana penduduk boleh minum kopi sambil melakukan perbincangan secara santai.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK