Kemudahan Rawatan Perubatan

K

linik Desa Kampung Padang terletak di pinggir jalan utama Kampung Padang. Dua orang Jururawat Masyarakat ditugaskan di klinik desa ini. Pelbagai perkhidmatan boleh didapati di klinik ini antaranya rawatan untuk kanak-kanak dan ibu mengandung. Kebiasaannya klinik desa ini akan ditutup pada setiap hari Rabu dan Jumaat disebabkan para Jururawat mengadakan lawatan ke rumah ibu-ibu yang lepas bersalin.

 
Pengedaran poster pemberitahuan mencegah penyakit
 

Selain Klinik Desa Kampung Padang, terdapat sebuah lagi klinik kerajaan di Klebang. Klinik Kesihatan mengandungi tiga bangunan yang setiap satunya memberikan perkhidmatan kesihatan yang berbeza. Perkhidmatan yang terdapat di sini ialah Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak, Klinik Pergigian dan Klinik Pesakit Luar. Ada juga penduduk yang memilih untuk ke Hospital Melaka yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kampung Padang kerana kemudahan perubatan di hospital lebih lengkap dan menyeluruh.

Di bidang pendidikan kesihatan pula, lawatan ke sekolah-sekolah dan tabika diadakan oleh kakitangan Pejabat kesihatan. Lawatan ini bertujuan untuk memberi rawatan-rawatan khusus kepada para pelajar. Di Tabika KEMAS Kampung Padang misalnya, rawatan pergigian akan dijalankan sekali dalam tempoh tiga bulan. Selain itu, pengedaran poster-poster yang berkaitan dengan pencegahan penyakit turut dilakukan.

 
Klinik kerajaan yang paling hampir di Klebang
 

Sebuah klinik swasta yang terletak di Malim Business Park boleh dikunjungi oleh penduduk pada bila-bila masa terutama jika berlaku kecemasan. Selain perubatan moden, pengamal perubatan tradisional masih wujud di Kampung Padang. Tukang-tukang urut khas untuk lelaki dan wanita menawarkan perkhidmatan di rumah kediaman mereka.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK