“Kampung Ceria Masyarakat Sejahtera”

B

ermottokan “Kampung Ceria Masyarakat Sejahtera”, Kampung Sagil Parit 3 adalah antara kampung yang terlibat dalam Gerakan Daya Wawasan (GDW). GDW merupakan satu usaha kerajaan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat luar bandar agar melakukan anjakan paradigma, sikap, amalan dan aspirasi demi melahirkan masyarakat desa yang berilmu, berdikari, beinovasi tinggi dan berdisplin.

Untuk sampai ke Kampung Sagil Parit 3, pengunjung boleh menaiki kemudahan awam seperti teksi ataupun bas di Bandar Segamat. Jarak perjalanan sejauh 30 km serta laluan penuh liku selama 30 minit sememangnya mencabar. Namun segala keletihan dan kepenatan lenyap sekelip mata sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki dan melepasi pintu gerbang yang tersergam megah di Kampung Parit Sagil 3.

“Keindahan tumbuh-tumbuhan dan pemandangan menjadi tarikan pengunjung”

 
   

Keindahan landskap yang tersusun indah di jalan utama merupakan hasil ilham penduduk kampung. Landskap ini menjadi bukti kerjasama penduduk dalam menyerikan dan mengindahkan kawasan kampung. Kedamaian dan keindahan desa nan permai pastinya menambat hati dan sanubari para tetamu yang berkunjung ke Kampung Sagil Parit 3.

 
 
Pemandangan rumah di Kampung Sagil Parit 3

Tanah yang subur merupakan penyumbang utama kepada kegiatan pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk kampung. Deretan pokok-pokok sawit dan getah disekeliling kawasan kampung seolah-olah menyambut setiap tetamu yang berkunjung ke sini.

Kampung Sagil Parit 3 terletak di dalam Daerah Ledang, iaitu sebuah daerah yang baru sahaja diwujudkan di Negeri Johor Darul Takzim dan berada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir. Kampung tradisional Melayu yang terletak kira-kira 10 km dari kaki Bukit Gunung Ledang memudahkan para pengunjung untuk datang ke sini.

Perpustakaan Desa Sagil terletak di tengah-tengah Kampung Sagil Parit 3 berkongsi bangunan dengan Balai Raya Kampung Sagil Parit 3. Perpustakaan ini juga terletak berdekatan dengan sekolah rendah agama. Maka tidak hairanlah rata-rata pengunjung perpustakaan ini terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.


 
 
Penafian | Laman Web KTAK