Pemandangan indah yang menyambut kedatangan pengunjung

Air Terjun Tersembunyi

A

dakah anda sukakan ketenangan dan kedamaian? Apa tunggu lagi, anda boleh menikmati dan merasai sendiri hutan dara di tengah-tengah Bandar Maran yang mempunyai air terjun dan pemandangan sungguh menarik. Tidak sukar untuk ke sini kerana ia terletak hanya tiga kilometer sahaja dari pusat bandar. Selain lokasi yang agak tersembunyi dan menenangkan, anda juga boleh berkelah, berkhemah dan mandi air terjun bersama rakan-rakan keluarga dan insan tersayang di Hutan Lipur Teladas ini.

 
Udara segar dapat dinikmati di Hutan Lipur Teladas
 

Hutan lipur ini mula dikomersialkan dan dibuka untuk orang ramai sekitar tahun 1980-an. Ia juga telah diwartakan oleh kerajaan Negeri Pahang sebagai salah sebuah pusat pelancongan yang terdapat di Maran. Bagi mereka yang datang dari jauh, mereka boleh memilih untuk menginap di rumah rehat yang ada di Bandar Maran. Kunjungan yang tidak henti-henti terutamanya pada waktu cuti sekolah dan cuti umum membuatkan kawasan ini sedikit meriah dengan teriakan pengunjung yang berkelah dan mandi manda.

 

 
Tempat berteduh turut disediakan untuk kemudahan pengunjung
 

Keadaan hutan yang masih dara dan terpelihara serta bunyi-bunyian cengkerik dan serangga akan menyambut kedatangan anda ke sini. Anda merasakan seperti berada di suatu tempat lain dan amat sesuai bagi mereka yang ingin lari dari hiruk pikuk kota.

Ada juga di antara pelajar sekolah yang gemar berkhemah di sini pada hujung minggu sekadar untuk melepaskan tekanan. Terdapat kemudahan tempat untuk berkhemah bagi mereka yang ingin tinggal lebih lama dan merasai kehidupan di hutan. Bagi mereka yang datang untuk mandi air terjun, mereka boleh berehat di kawasan wakaf yang disediakan di sekitar kawasan hutan lipur ini.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK