Jika anda dari Seremban, anda akan menyusuri satu pemandangan yang bakal menenangkan fikiran anda. Di kelilingi bukit-bukau, kawasan ini masih kaya dengan khazanah hutan. Malah terdapat sebuah tapak semaian di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan di kawasan Mantin ini. Tapak semaian ini berfungsi untuk menyediakan anak pokok bagi tujuan perhutanan semula, perhutanan bandar dan juga hutan perkampungan. Maka tidak hairanlah sekiranya kawasan ini masih dikelilingi kehijauan hutan mempesonakan para pengunjung yang melalui Mantin untuk ke Seremban, Nilai dan kawasan-kawasan berhampiran. |
RELA Kampung Belihoi yang berpusat di sebelah Balai Raya Kampung Belihoi sering ‘turun padang’ bersama pihak polis sekiranya terdapat sebarang operasi kecemasan di sekitar kawasan kampung. RELA dianggotai oleh para penduduk kampung yang berumur 16 tahun ke atas. Anggota RELA bertugas secara sukarela dan selalunya mengikut giliran. Menurut Jengkeh yang juga salah seorang penduduk orang asli Kampung Belihoi, masyarakat orang asli juga tidak terkecuali menjadi anggota sukarela pertubuhan keselamatan ini. Beliau yang berusia hampir 50 tahun mementingkan soal keselamatan penduduk Kampung Belihoi yang rata-rata darah dagingnya sendiri. |