Tempat Bertapak

 
 
Pasangan Ben dan Casey dari Amerika Syarikat
J

umlah penduduk di Kampung Kuala Mai dianggarkan seramai 730 orang. Keseluruhan penghuni yang bermastautin di kampung ini ialah orang Melayu. Terdapat pelbagai pola penempatan penduduk seperti kediaman berselerak di serata kampung atau berjajaran di tepi jalan raya dan tebing sungai. Pada suatu ketika dahulu sebelum wujudnya kemudahan jalan raya, Sungai Pahang merupakan jalan perhubungan utama bagi penduduk kampung. Faktor itu menyebabkan kebanyakan rumah penduduk tertumpu di sepanjang tebing sungai.

Namun sejak jalan-jalan raya mula dibina, ramai penduduk kampung ini sudah mula berhijrah dan membina penempatan secara berjajar di sepanjang jalan raya. Kedudukan rumah-rumah di sisi jalan raya kebanyakannya rapat dan sebelah menyebelah. Selain itu terdapat juga penempatan terpencil dan berselerak di beberapa sudut kampung. Senario kedudukan rumah-rumah yang berjauhan antara satu sama lain menjadi lumrah di kebanyakan kampung di Negeri Pahang kerana negeri ini merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.

 
Keadaan riuh yang mengeratkan hubungan sesama penduduk
 

Kehidupan sosial masyarakat Kampung Kuala Mai masih lagi berteraskan kepada nilai-nilai murni dan juga adat-adat Melayu tradisional. Masih terdapat umah-rumah tradisi lama yang dibina dari kayu sambil diselang seli dengan rumah-rumah berciri moden seperti banglo indah.
Kediaman penduduk biasanya dihiasi pokok-pokok bunga manakala pokok buah-buahan ditanam di sekelilingnya.

Walaupun semakin dihimpit arus pemodenan, para penduduk kampung ini tetap memelihara amalan-amalan warisan yang menjadi identiti masyarakat kampung seperti kenduri-kendera, ziarah menziarahi, gotong-royong dan bantu-membantu. Di Kampung Kuala Mai, segala urusan menguruskan majlis sama ada kenduri kahwin, kenduri kesyukuran atau majlis keramaian lainnya dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk kampung.

Pembangunan telah menjadikan Kampung Kuala Mai tersedia dengan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya berturap, bekalan air bersih, bekalan elektrik, perhubungan komunikasi telefon berwayar atau tanpa wayar (telefon bimbit), siaran radio dan televisyen serta capaian Internet. Terdapat juga banyak pondok telefon awam bagi memberi kemudahan telekomunikasi kepada penduduk terutamanya ketika waktu kecemasan.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK