Aktiviti Positif
agi memastikan golongan belia luar bandar tidak terpinggir, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Kuala Mai melalui Biro Belia dan Sukan sentiasa merangka program-program yang mampu menjana rohani dan jasmani para belia. Antara aktiviti sukan yang sering dianjurkan untuk golongan belia Kampung Kuala Mai ialah pertandingan sepak raga, bola sepak dan badminton. Penganjuran aktiviti sukaneka seperti tarik tali dan lari dalam guni pula bertujuan memupuk kesefahaman dan setia kawan dan melahirkan keceriaan kepada belia.
Di bidnag permainan, belia di sini juga sentiasa aktif bermain bola sepak dengan berlatih tiga kali seminggu. Berkat tunjuk ajar dan komitmen tinggi oleh jurulatih, ramai di kalangan anak jati Kampung Kuala Mai berjaya mewakili sukan ini di peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Selain memenuhi masa senggang mereka dengan bersukan, para belia di sini turut melakukan aktiviti seni dan kebudayaan. Walaupun nilai-nilai budaya Melayu semakin luntur, akan tetapi belia Kampung Kuala Mai boleh berbangga kerana keutuhan jati diri mereka. Penubuhan kelab kompang telah menarik minat ramai belia untuk menguasai kemahiran bermain kompang. Irama paluan kompang yang syahdu dan mengasyikkan menjadikan kelab kompang itu sentiasa mendapat undangan.
Ketika musim kenduri kahwin, para belia tidak menang tangan dibuatnya kerana pelbagai jemputan dan aktiviti. Di samping bermain kompang, para belia di Kampung Kuala Mai turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti lain seperti bermain gitar rancak, kelas mengaji dan berzanji serta kelas tuisyen untuk pelajar sekolah yang dikelolakan oleh anak jati kampung ini. Aktiviti sebegini dapat menjauhi belia daripada membuang masa atau terpengaruh dengan kegiatan negatif.
|