Tumbuhan hijau menghiasi landskap alam di Gunung Senyum

Penjelajahan Gua di Gunung Senyum

 
 
Jambatan gantung berhampiran Gunung Senyum
S

alah satu tempat menarik yang wajib dikunjungi ketika berada di Kampung Kuala Krau ialah Hutan Lipur Gunung Senyum. Perjalanan ke gunung Senyum memakan masa 45 minit dengan menaiki kereta, manakala perjalanan menaiki bot hanya mengambil masa lima minit sahaja. Bagi pengunjung yang mahukan suatu pengalaman baru boleh memilih untuk menaiki bot menyusuri Sungai Pahang.

Gunung Senyum dipercayai wujud sejak 3,000 tahun lalu. Sejarah asal usul nama gunung ini dikatakan berkait rapat dengan sebuah kisah di mana pada ketika itu, Sultan Pahang pertama, Sultan Muhammad Shah berehat di tebing kanan sungai Kuala Krau dan terlihat sebuah gunung yang sangat indah. Beliau lantas bertitah kepada pengikutnya apakah nama gunung yang sedang diperhatikannya itu. Malang sekali, pengiring beliau tidak mengetahui nama gunung itu dan hanya mampu tersenyum. Dari situlah munculnya nama Gunung Senyum sehingga kini.

Terdapat pelbagai jenis gua di dalam kawasan Gunung Senyum seperti Gua Kolam Tujuh, Gua Angina, Gua Terang Bulan, Gua Taman Satu, Gua Makam Tok Long, Gua Silat dan Gua Danau Impian. Pengunjung boleh menyusuri jalan trek yang sudah tersedia untuk melihat sendiri keunikan dan keindahan gua-gua tersebut. Sambil berjalan di kawasan gua, pengunjung boleh melihat dan mendengarkan suara penghuni rimba seperti kera, burung, rama-rama dan burung Enggang bersahut-sahutan seolah-olah menyambut kedatangan anda.

 
Keunikan gua di Gunung Senyum
 

Dianggarkan terdapat lebih kurang 19 buah gua besar di dalam gunung ini. Antara gua yang popular ialah Gua Terang bulan dan dapat dilihat cahaya masuk di celah-celah gua.Gua Makam Tok Long pula dinamakan sempena seorang alim ulama yang bernama Tok Long yang meninggal dunia di kawasan gua ini. Manakala, Gua Silat merupakan pusat pengumpulan anak muda suatu ketika dahulu berlatih silat dan masih terdapat kesan tapak kaki di dinding gua ini. Gua Silat juga dilihat sangat bersih seolah-olah ada penghuni yang menjaganya.

Selain dari menjelajah kawasan gua, pengunjung boleh berkhemah di tapak perkhemahan ataupun menginap di asrama dan chalet yang disediakan. Kadar bayaran boleh dirunding dengan pihak pentadbir namun ia perlu mendapat kebenaran dari Jabatan Hutan Temerloh terlebih dahulu. Dianggarkan 10,000 pengunjung akan datang setiap bulan untuk menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK