Pemandangan menghijau Kuala Krau

Penduduk Sekitar Ringan Tulang

P

enduduk Kampung Kuala Krau menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk kawasan sekitar seperti Kampung Sebai, Kampung Masjid, Kampung Baru Cina, Batu Gading dan Pekan Kuala Krau. Jika terdapat ada aktiviti yang dianjurkan, penduduk kampung tidak akan lupa menjemput jiran-jiran di kawasan sekitar untuk sama-sama memeriahkannya. Sikap jiran yang sentiasa ringan tulang membantu ketika majlis keraian atau aktiviti kemasyarakatan berjaya merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

Selain itu, penduduk kawasan sekitar gemar berkunjung ke Kampung Kuala Krau untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan. Ramai di kalangan mereka kerap melakukan aktiviti sukan seperti bermain bola sepak, sepak takraw dan memancing di beberapa kawasan riadah yang disediakan. Kadang kala mereka berlatih bersama-sama untuk menyertai pertandingan yang melibatkan kampung-kampung sekitar yang dianjurkan oleh jawatankuasa kampung.

Pekan terdekat ialah Pekan Kuala Krau yang menjadi destinasi penduduk kampung menyelesaikan urusan harian. Pelbagai perkhidmatan tersedia seperti pos mini,deretan kedai runcit, gerai makan dan agensi perbankan. Di sini terdapat jeti yang menjadi pusat sehenti bot penduduk yang tinggal di kawasan seberang dibina di pinggir Sungai Pahang. Setiap hari jeti ini sibuk kerana sebahagian besar murid-murid sekolah dari kampung di seberang Sungai Pahang yang bersekolah di Kampung Kuala Krau datang dengan menggunakan khidmat bot penambang. Walaupun tiada sekolah di kampung mereka, namun, bukanlah satu penghalang bagi anak-anak cilik ini untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna. Segala kemudahan yang disediakan dinikmati oleh semua penduduk dan kawasan sekitarnya.

Selain daripada pengangkutan kereta api, terdapat juga perkhidmatan pengangkutan air seperti bot penambang bagi memudahkan penduduk kampung berhubung dengan kawasan sekitar. Keunikan perhubungan jalan darat dan air ini telah lama digunakan oleh orang kampung sebelum wujudnya kemudahan jalan raya dan sebagainya.

 
 
Penafian | Laman Web KTAK