Menabur Bakti Dalam Apa Jua Bidang
umber pendapatan utama anak watan di sini dijana melalui sektor perkhidmatan awam, swasta, perkhidmatan badan bukan kerajaan, perniagaan dan pertanian. Bagi golongan belia, mereka memilih untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam di bandar Temerloh seperti bekerja sebagai doktor, guru, pegawai pentadbir dan sebagainya. Selain menjamin masa depan yang cemerlang, mereka juga ingin menabur bakti kepada penduduk kampung melalui apa jua bidang yang diceburi. Keazaman yang kuat untuk mengubah nasib keluarga dan menaikkan taraf hidup merupakan suatu usaha murni golongan muda ini.
Ladang kelapa sawit dan getah yang luas di sekitar kawasan kampung diusahakan oleh golongan dewasa. Namun terdapat anak muda mengikuti jejak langkah generasi terdahulu untuk mendapatkan sumber rezeki melalui pertanian. Mereka yakin dengan adanya teknologi yang lebih moden, hasil pertanian yang diusahakan boleh memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Terdapat juga projek Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang dilancarkan di dalam kawasan kampung Kuala Krau ini.
Bagi sesetengah penduduk yang cenderung mengusahakan perniagaan berkaitan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka mempunyai sebab tersendiri untuk menceburi bidang IKS. Mereka ingin mencari pengalaman di dalam bidang tersebut dan menimba sebanyak mungkin ilmu untuk dikongsi bersama generasi akan datang. Di samping itu, terdapat juga beberapa anak kampung yang mengambil upah menjahit baju dan membuka gerai di tepi jalan kampung untuk membantu meringankan beban keluarga.
Tidak kira apa jua bidang yang diceburi penduduk setempat tetap bermuafakat dan saling tegur menegur sesama mereka. Mereka tetap hidup dengan aman damai tanpa mengira status dan taraf.
|