Negeri Pahang kaya dengan khazanah hutan yang masih terpelihara misalnya Gunung Senyum yang terletak berdekatan Kuala Krau, Temerloh. Hutan Lipur Gunung Senyum dibuka secara rasmi sebagai taman rekreasi pada 14 Julai 1989 dan diselia Jabatan Perhutanan Daerah Temerloh. Destinasi ini menjadi habitat pelbagai flora dan fauna serta terkenal dengan keunikan gua-gua yang penuh misteri. Di Gunung Senyum terdapat sebanyak 25 buah gua yang menarik untuk diterokai terutama bagi penggemar aktiviti lasak.


Sejarah Pelancongan
Nama Kampung Kuala Krau berasal daripada nama Kuala Kera yang diilhamkan oleh peneroka awal kawasan ini. Peneroka awal Kuala Krau ialah masyarakat Orang Asli yang mula mendiami kawasan ini sekitar 1940-an. Pada ketika itu, kawasan kampung yang terletak di kuala Sungai Pahang dipenuhi dengan kera maka dari situlah tercetusnya nama Kuala Kera. Akibat peredaran zaman, nama tersebut dianggap tidak lagi bersesuaian dan penduduk kampung telah menukarnya kepada Kuala Krau.
Salah satu tempat menarik yang wajib dikunjungi di sini ialah Hutan Lipur Gunung Senyum yang terletak berhampiran dengan kawasan kampung. Anda boleh memilih untuk menaiki kenderaan sendiri atau menaiki perkhidmatan bot tambang yang terdapat di pinggir kampung.
 
 
Penafian | Laman Web KTAK