Menu Utama
01
Maklumat Am
02
Populasi
03
Kampung-kampung Sekitar
04
Sosioekonomi
05
JKKK
06
Sejarah
07
Belia
08
Wanita
09
Pertanian Dan Perladangan
10
Pelancongan
11
Keusahawanan
12
Perikanan Dan Penternakan
13
Kemudahan Asas
14
Kawasan Riadah
15
Kesihatan
16
Pendidikan
17
Keselamatan
18
USP
   
  Pusat Komuniti Kampung Jawa Batu 18,
Kampung Jawa Batu 18,
43200 Hulu Langat,
Selangor Darul Ehsan
   
 

Replika Lambang Keunikan Kampung

K

ampung Jawa, Batu 18 di Hulu Langat Selangor terletak berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur sejauh 32 kilometer. Anda juga boleh sampai ke kampung ini dengan hanya 10 minit pemanduan dari Pekan Hulu Langat atau kira-kira 30 minit dari Kajang. Kampung ini terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Jika anda terlihat Balai Polis Batu 18, ini bermakna anda sudah sampai ke Kampung Jawa. Terdapat sebuah jambatan yang akan menghubungkan anda ke kampung ini setelah melintasi kawasan “pekan cowboy” yang kebanyakan kedainya masih lagi menggunakan papan dan kayu. Papan tanda yang tertulis “Selamat Datang ke Kampung Jawa” menunjukkan bahawa penduduk kampung mengalu-alukan kedatangan orang luar ke kampung ini.

Suatu yang unik di kampung ini adalah ia mempunyai enam replika di sepanjang kampung. Setiap replika membawa maksud yang tersendiri mengikut zon. Replika pertama ialah replika jidor, salah satu alat muzik tradisional yang diwarisi penduduk di Kampung Jawa. Selepas itu anda akan melihat replika buah manggis di zon kedua iaitu di kawasan pertanian dan mempunyai dusun buah-buahan seperti durian dan manggis yang diusahakan oleh orang kampung sebagai salah satu punca pendapatan.

Jika anda ternampak replika keris pula, ia menandakan anda berada berhampiran kediaman Ketua Kampung. Keris yang menjadi simbol replika membawa maksud ketua dan amanah yang perlu dipikul oleh ketua kampung. Replika buku pula terletak di zon empat yang berhampiran dengan Perpustakaan Desa Kampung Jawa. Seterusnya ialah replika Menara Kuala Lumpur yang membawa maksud pembangunan kampung seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor Maju 2010. Manakala replika ikan di zon enam adalah replika yang terakhir di mana terdapatnya medan ikan bakar yang begitu popular di Hulu Langat.

Kampung Jawa juga terkenal dengan keindahan anak sungai di sepanjang kampung yang sering dikunjungi oleh orang luar untuk menikmati keindahan dan kedinginan air sungainya. Anak sungai yang mengalir dari atas bukit ini juga menjadikan kampung ini masih terpelihara dan mengekalkan keindahan alam semula jadi.

 
Penafian | Laman Web KTAK