Keakraban Melalui Perniagaan
ampung Jawa terletak berhampiran Kampung Kuala Perdek, Kampung Sungai Lui dan Kampung Dusun Tua. Kesemua kampung ini terletak di Mukim Hulu Langat. Pekan Kampung Jawa yang terletak di tengah-tengah kawasan kampung merupakan pusat pembangunan desa penduduk di sini. Kebanyakan penduduk sekitar berkumpul dan mendapatkan keperluan harian yang diperlukan di pekan ini kerana di sinilah terdapat gerai makan, kedai runcit dan juga kedai jahitan. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah mukim juga memudahkan orang kampung untuk mendapatkan keperluan harian dan perkhidmatan yang diperlukan.
Penduduk kampung berinteraksi dan berkomunikasi dengan kampung sekitar melalui hubungan perniagaan, kebudayaan dan sukan. Terdapat segelintir penduduk yang berniaga sayur-sayuran, ikan dan juga barangan runcit secara bergerak dengan menggunakan lori dari kampung ke kampung. Penduduk kampung sekitar tidak perlu bersusah payah untuk ke pasar kerana lori tersebut akan mengelilingi Kampung Jawa dan kampung sekitarnya setiap hari.
Aktiviti kesukanan seperti pertandingan bola sepak, futsal dan sepak takraw antara penduduk kampung sememangnya mengeratkan hubungan sesama mereka. Selain itu, mereka juga dapat bertukar pengalaman dan kemahiran yang dimiliki dengan anak kampung sekitar. Padang bola yang terdapat di antara Kampung Jawa dan Kampung Perdek merupakan tempat pertemuan anak muda kampung untuk bermain bola sepak pada setiap petang. Kerjasama yang baik di antara belia di sini menjadikan sukan antara aktiviti wajib yang dianjurkan setiap tahun di sini.
Dari sudut kebudayaan, kumpulan jidur dan kompang yang popular di Kampung Jawa sering kali diundang oleh penduduk sekitar untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis rasmi ataupun majlis perkahwinan. Anak-anak muda kampung juga menjadi penyumbang utama dalam aktiviti kemasyarakatan ini. Walaupun majlis tersebut bukanlah dari kampung mereka, namun sikap mengambil berat antara satu sama lain membuatkan anak-anak muda ini menawarkan diri untuk turut sama membantu di dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Sektor pelancongan juga membantu mengeratkan hubungan antara penduduk Kampung Jawa dan penduduk sekitarnya. Sungai-sungai popular seperti Sungai Lui, Sungai Congkak dan Sungai Gabai serta Gunung Niang merupakan antara kawasan pelancongan popular di Mukim Hulu Langat. Bukan hanya penduduk setempat yang mengunjungi kawasan ini, malah pelancong dari luar juga sanggup datang untuk sama-sama merasai keindahan alam semula jadi yang terdapat di sini.
Jika dahulu mereka hanya berhubung dengan penduduk sekitar dengan berjalan kaki dan menaiki basikal, namun kini kemudahan jalan raya dan pengangkutan yang semakin meluas menjadikan jaringan perhubungan semakin senang dan mudah. Jambatan yang dibina juga menghubungkan Kampung Jawa dengan kampung sekitarnya.
|